Mi Sedaap, dengan kerjasama TV3, Pepper Labs dan Dapur Digital, telah menyemarakkan lagi suasana Ramadan menerusi siri jelajah Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap. Aktiviti lapangan ini merupakan lanjutan istimewa kepada program Jom Berbuka terbitan TV3 yang ditaja sepenuhnya oleh Mi Sedaap, sebagai usaha untuk mendekati masyarakat secara lebih langsung sepanjang bulan yang mulia ini.
Setiap sesi diisi dengan aktiviti memasak bersama selebriti di dapur Pepper Labs sebelum juadah yang disediakan diagihkan kepada kira-kira 350 penerima di setiap lokasi. Siri jelajah ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan bagi menghiburkan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyokong usaha ini. Selain menyantuni penduduk setempat, Mi Sedaap turut menyampaikan kotak Kongsi Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas kepada rakan-rakan Dapur Digital yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah, selaras dengan tagline “Kongsi Rezeki, Nikmati Rasa Asli Mi Sedaap”.

Siri jelajah Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap melabuhkan tirainya di PPR Hiliran Ampang dan turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima, Puan Farah Shamsudin serta Pengurus Serantau Gentle Supreme Sdn Bhd, Encik Ng Hock Guan.
Sepanjang penganjurannya, tiga siri jelajah telah dilaksanakan di beberapa lokasi strategik. Program pertama berlangsung di PPR Wangsa Sari pada 21 Februari yang dimeriahkan oleh pasangan ibu dan anak popular, Nabila Huda dan Keisha Laila, serta dihoskan oleh personaliti TV3, Zati Nizam dan Asyraf Jamaluddin. Siri kedua pula diadakan di PPR Sri Perlis 2 pada 28 Februari dengan kehadiran pelawak Angah dan Wawa, bersama pengacara Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin. Program kemuncak berlangsung di PPR Hiliran Ampang pada 3 Mac yang diserikan oleh Chef Fazley dan Fariedz Fazley, serta dikendalikan oleh Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin.


Usaha sama ini membuka ruang kepada TV3, penaja dan rakan strategik untuk mengeratkan ukhuwah serta mendekatkan diri dengan penonton dan pengguna. Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama dalam berkongsi keberkatan Ramadan bersama komuniti, selaras dengan aspirasi untuk terus kekal relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia. Kerjasama seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi manfaat yang berterusan kepada masyarakat.