Sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, Yayasan MR D.I.Y. meneruskan inisiatif perayaan tahunannya dengan membawa kemeriahan sambutan tersebut ke rumah kebajikan dan pusat jagaan di seluruh Malaysia, bagi memastikan komuniti yang memerlukan turut sama merasai kegembiraan musim perayaan.
Menerusi inisiatif MR D.I.Y. Marvellous CNY, yayasan ini telah mengunjungi 14 rumah kebajikan di seluruh negara, menyantuni para penghuni melalui penglibatan secara langsung serta sumbangan yang bermakna. Secara keseluruhan, sebanyak RM14,000 telah diperuntukkan bagi menyokong sambutan perayaan serta membantu memenuhi keperluan harian penghuni di rumah-rumah kebajikan yang terlibat.

Para penghuni dan sukarelawan berkongsi detik penuh keceriaan ketika meraikan Marvellous CNY bersama, dimeriahkan dengan hiasan perayaan, hadiah bermakna serta kehadiran maskot PANDAi MR D.I.Y.
Pasukan Yayasan MR D.I.Y. turut mengagihkan kotak keperluan Marvellous CNY ke rumah anak yatim, rumah warga emas serta pusat yang menyokong individu kelainan upaya. Setiap kotak mengandungi snek istimewa Tahun Baru Cina dan barangan keperluan rumah, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 800 individu di seluruh negara. Antara lokasi yang diziarahi termasuk Rapha Children’s Home, Yayasan Sunbeams Home dan Grace Old Folks Home.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata Tahun Baru Cina adalah masa untuk berkongsi kegembiraan dan meraikan kebersamaan. Melalui inisiatif MR D.I.Y. Marvellous CNY, pihaknya ingin membawa kemeriahan perayaan kepada komuniti yang disantuni serta mengingatkan bahawa mereka tidak dilupakan pada musim yang istimewa ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak rumah kebajikan dan para sukarelawan yang berganding bahu menjayakan program tersebut, sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina yang penuh kegembiraan dan kemakmuran kepada semua.
Di Yayasan Sunbeams Home, Cheras, para sukarelawan memeriahkan sambutan dengan pelbagai aktiviti perayaan, hiasan tradisional serta sesi lou sang yang melambangkan kemakmuran dan perpaduan. Dalam lawatan tersebut, Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, telah menyampaikan baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM3,000 kepada pihak rumah kebajikan bagi menyokong pembelian keperluan harian. Kehadiran maskot PANDAi MR D.I.Y. turut menambah keceriaan dan mencipta detik-detik bermakna buat para penghuni dan sukarelawan yang terlibat.

MR D.I.Y. menyampaikan baucar tunai bernilai RM3,000 kepada Rumah Yayasan Sunbeams sempena inisiatif Marvellous CNY. Turut kelihatan dalam gambar (ketiga dari kanan) Alex Goh, Naib Presiden Pemasaran, dan (kedua dari kanan) Elaine Ho, Ketua Jabatan Pemasaran, bersama wakil Yayasan Sunbeams. Maskot MR D.I.Y., PANDAi, turut memeriahkan suasana.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Tahun Baru Cina oleh Yayasan MR D.I.Y., orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi mrdiy.com dan mrdiy.com.my serta mengikuti perkembangan terkini menerusi platform media sosial Facebook, Instagram dan TikTok rasmi MR D.I.Y.