Mohd Amirul Rizal Ambil Alih Jawatan Ketua Pengarah Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia mengumumkan pelantikan YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 8 Disember 2025. Pelantikan ini menandakan satu fasa kepimpinan baharu dalam memperkukuh hala tuju pelancongan negara.

Pelantikan tersebut dibuat oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992. Mohd Amirul Rizal menggantikan YBhg. Datuk Manoharan Periasamy yang bersara wajib pada 6 Disember 2025.

Mohd Amirul Rizal memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Teknologi MARA. Beliau menyertai Tourism Malaysia pada 2 September 2002 dan telah berkhidmat dalam pelbagai portfolio berkaitan pemasaran serta promosi pelancongan negara.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah bertugas di Bahagian Penyelidikan sebelum dilantik sebagai Pengarah Pejabat Negeri Tourism Malaysia Terengganu dan Pengarah Pejabat Luar Negeri Tourism Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2008. Beliau juga pernah menerajui Bahagian Promosi Domestik dan Acara, Bahagian Promosi Antarabangsa Asia dan Afrika, serta terkini sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital. Selain itu, beliau memainkan peranan penting sebagai Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026.

Di luar peranan rasmi, beliau turut aktif dalam persatuan dan memegang jawatan Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia. Penglibatan ini mencerminkan kepimpinan yang seimbang dari sudut strategik, operasi dan pembangunan warga kerja.

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pemasaran dan promosi pelancongan, pelantikan Mohd Amirul Rizal diyakini mampu memperkukuh pertumbuhan industri pelancongan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul di peringkat global menjelang Visit Malaysia 2026.