Melodi Glam Raya Runway menjadi tumpuan pada 12 Mac lalu apabila sebuah pertunjukan fesyen unik yang berlangsung di dalam tren MRT berjaya menghidupkan suasana sepanjang perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama hingga ke Tun Razak Exchange (TRX). Dari detik orang ramai menanti ketibaan tren sehinggalah ke kemuncak persembahan di pentas utama, acara ini menggabungkan elemen fesyen, muzik dan hiburan dalam satu pengalaman sambutan Raya yang penuh glam dan meriah.
Kemeriahan acara bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob yang diterajui oleh bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam. Persembahan tersebut turut disertai oleh Rakan Selebriti Watsons, Sharifah Rose dan Fahrin Ahmad, yang bersama-sama mempersembahkan gerakan tarian istimewa menerusi lagu Raya jenama berkenaan, sekali gus menceriakan suasana pembukaan acara.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi pelepasan rasmi yang disempurnakan oleh barisan tetamu kehormat, menandakan permulaan perjalanan tren khas Melodi Glam Raya Runway. Di dalam tren, para tetamu terus dihiburkan dengan persembahan lagu tema rasmi Watsons Raya oleh finalis One In A Million sebelum suasana bertambah meriah dengan alunan suara Nabila Razali.
Segmen runway kemudiannya mengambil tempat apabila barisan model membuat kemunculan memperagakan rangkaian produk penjagaan kulit, solekan, penjagaan diri serta kesihatan daripada barisan Rakan Jenama Watsons, sesuai untuk melengkapkan persiapan Aidilfitri. Mereka turut menggayakan koleksi pakaian dan aksesori Raya daripada jenama-jenama fesyen tempatan yang merupakan Rakan Jenama TikTok Shop, sambil menampilkan inspirasi gaya Aidilfitri yang segar dan versatil.
Menariknya, setiap produk dan gaya yang diperagakan turut dipaparkan menerusi fungsi “beg kuning” di TikTok Shop sepanjang siaran langsung berlangsung, membolehkan penonton membeli terus item yang ditampilkan dengan tawaran istimewa. Daripada produk Watsons yang dibawa oleh model sehinggalah kepada pakaian, kasut dan beg tangan yang digayakan, semuanya boleh dibeli secara terus melalui platform tersebut. Inisiatif ini turut mencipta satu lagi pencapaian baharu di bawah Melodi dengan memperkenalkan integrasi pembelian secara langsung melalui “beg kuning”, selain membuka peluang kerjasama masa hadapan bersama lebih banyak jenama dan rakan industri.
Sepanjang perjalanan, suasana turut diselang-seli dengan sesi sembang santai bersama hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, sebelum tren berhenti seketika di Stesen MRT Pasar Seni yang menyaksikan kemunculan barisan model seterusnya.
Kemeriahan acara mencapai kemuncaknya di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) apabila tumpuan beralih ke pentas utama yang berlangsung di aras concourse stesen tersebut. Datuk Seri Aliff Syukri terlebih dahulu tampil dengan aksi pembukaan sebelum Melodi Glam Raya Runway dilancarkan secara rasmi.
Pentas utama kemudian diserikan dengan kemunculan barisan penyanyi popular tanah air termasuk Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali dan Ernie Zakri yang menghangatkan suasana dengan persembahan penuh pesona, sekali gus menghiburkan para pengunjung yang hadir.



Segmen di pentas utama turut menampilkan pertunjukan runway yang memperagakan rangkaian produk dengan beberapa produk diperagakan sendiri oleh Duta dan Rakan Selebriti Watsons iaitu Ayda Jebat, Che Puan Sarimah, Sharifah Rose, Fahrin Ahmad, Akmal Nazri, Lyssa Jean dan Mekyun.
Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, Melodi Glam Raya Runway mengetengahkan idea bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan boleh direalisasikan tanpa perlu berbelanja besar. Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi dalam mengangkat bakat serta jenama tempatan, di samping membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen dan hiburan.

Acara ini mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama, dengan keseluruhan acara distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat. Untuk perkembangan terkini mengenai Melodi, orang ramai boleh mengikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.