Rancangan hiburan sensasi nombor satu negara, Melodi, bakal tampil dengan kelainan luar biasa menerusi penganjuran Melodi Glam Raya Runway 2026, sebuah pertunjukan fesyen dalam tren bergerak yang menggabungkan elemen hiburan, muzik dan inspirasi gaya Raya di atas landasan MRT. Acara ini akan dikendalikan oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, dan berlangsung pada 12 Mac 2026 (Khamis). Runway bergerak tersebut akan memulakan perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), sekali gus menjanjikan pengalaman visual serta suasana hiburan yang eksklusif buat para penonton.
Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, inisiatif ini menekankan bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan dan berkualiti tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Dengan sentuhan solekan yang tepat serta pemilihan busana yang bersesuaian, gaya memikat tetap mampu direalisasikan walaupun pada saat akhir, asalkan digayakan dengan penuh keyakinan.
Sepanjang perjalanan tren, seramai 20 model akan memperagakan koleksi Raya terkini daripada jenama fesyen tempatan, sekali gus memberikan inspirasi gaya kepada masyarakat menjelang musim perayaan. Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi sebagai platform yang mengangkat bakat dan jenama tempatan, selain membuka ruang kolaborasi strategik antara dunia fesyen, hiburan dan kandungan digital.
Di dalam tren, penumpang akan dihiburkan dengan persembahan daripada Nabila Razali, diikuti para finalis One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimmy dan Mariam. Kemeriahan kemudiannya diteruskan di pentas utama di TRX yang bakal menampilkan Aisha Retno, Ernie Zakri dan Amir Masdi, serta penampilan Aliff Syukri dan kemunculan semula Nabila Razali bersama para finalis One In A Million.
Orang ramai turut berpeluang menyertai peraduan di booth khas yang dibuka di Stesen MRT Bandar Utama, Pasar Seni dan TRX, dengan peluang memenangi baucar beli-belah menarik. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada revolusi fesyen ini dengan hadir ke Stesen MRT Bandar Utama pada jam 3.00 petang bagi memeriahkan sesi pelepasan rasmi, yang turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi. Acara kemuncak pula akan berlangsung di Aras Concourse MRT Tun Razak Exchange (TRX) pada jam 4.00 petang bagi mereka yang ingin menikmati suasana yang lebih mengujakan.
Melodi Glam Raya Runway 2026 mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama. Keseluruhan acara ini juga akan distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat bermula jam 3.30 petang. Untuk mendapatkan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.