HS Event & Entertainment Sdn. Bhd. akan mengadakan sebuah acara yang penuh makna, Malam Silaturahim, di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL). Acara eksklusif ini akan menghimpunkan 12 artis lagenda tanah air dalam satu malam penuh nostalgia, di mana mereka akan menghiburkan peminat serta mempromosikan inisiatif amal untuk membantu penggiat seni dan rakan media yang memerlukan.
Malam Silaturahim bukan hanya sekadar sebuah konsert biasa. Ia adalah sebuah penghargaan kepada artis-artis dan individu yang telah memberi sumbangan besar dalam industri seni tanah air. Antara artis yang akan memeriahkan malam tersebut termasuklah Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAP C, Bagiio, Amir Ukays, Wan Bossanova, dan Noorshila Amin.
Selain daripada meraikan artis-artis lagenda ini, acara ini turut memberi pengiktirafan kepada beberapa individu penting dalam industri seni seperti Ali Bakar, Dollah Bacha, dan Saari Amri, yang telah menjadi tulang belakang kejayaan dunia seni Malaysia.
Penganjur Malam Silaturahim, Datin Hjh Rosmariza Dato Hj Che Umar, menyatakan bahawa tujuan utama acara ini adalah untuk merapatkan hubungan antara penggiat seni dan memberi penghargaan kepada mereka yang telah lama berjasa. “Acara ini bukan hanya untuk meraikan artis-artis kita, tetapi juga untuk memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” ujar beliau dalam sidang media yang diadakan di Restoran Saloma Kuala Lumpur.
Sumbangan khas berupa wang tunai akan disalurkan kepada penggiat seni dan rakan media yang memerlukan. Melalui kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), sumbangan akan diberikan kepada 20 penerima yang terdiri daripada artis-artis dan bekas pengamal media seperti Syah Nizam Ahmad Shamsi (Along Jinbara), Salim Ibrahim (Dr. Sam), Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus), dan banyak lagi.
Tiket untuk Malam Silaturahim boleh didapati dengan harga bermula RM150.00, dan akan dijual mulai 27 November 2024. Acara ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 1500 penonton di Dewan Merdeka, yang akan menyediakan ruang untuk persembahan hebat serta majlis makan malam sebelum konsert bermula.
Dengan komitmen untuk memberi impak positif kepada industri seni tanah air, penganjuran program ini memperlihatkan dedikasi HS Event & Entertainment dalam menyokong penggiat seni serta masyarakat.
Pada sidang media yang sama, HS Event & Entertainment turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa penggiat seni dan bekas pengamal media yang kurang bernasib baik. Inisiatif ini berbeza dari kebiasaan sumbangan yang diberikan menjelang bulan puasa dan Hari Raya. Dengan mengubah tradisi, acara ini menunjukkan komitmen berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan sepanjang tahun.
HS Event & Entertainment Sdn. Bhd. telah dikenali melalui penganjuran acara berkonsepkan amal, termasuk Semarak Cinta Ramadan pada 2023 di Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur. Pada tahun ini, mereka turut mengadakan Ijmal Cinta Ramadan di Dewan Merdeka, WTC KL, yang menampilkan penyanyi legenda tanah air seperti Datuk Hattan, Ella, dan Aris Ariwatan.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, para peminat boleh menghubungi Ain di 012-9721125, Wani di 018-2404367, atau Syafik di 014-9402091.