Selepas kejayaan besar filem Menjelang Magrib, industri filem seram Indonesia kembali memukau penonton di Malaysia dengan filem terbarunya, Malam Keramat. Diarahkan oleh Helfi Kardit dan diterbitkan oleh Helroad Films serta Horizon Film Entertainment, Malam Keramat mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 23 Januari 2025. Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon terkenal Indonesia seperti Frederika Alexis Cull, Samuel Rizal, Asyafiena Ukantas, dan Lily Sp.
Sinopsis Filem ‘Malam Keramat’
Malal Keramat mengisahkan Dini, seorang wanita muda berusia 25 tahun yang sedang hamil dan bekerja sebagai jurujual hartanah. Salah satu rumah mewah yang diuruskan Dini terletak di kawasan yang terpencil, jauh dari kediaman lain. Ketika Dini tiba pada waktu senja, dia menemui kejadian yang tidak dijangka selepas rumah itu diserang oleh dua pencuri muda, Ranu dan Jani, yang mencari emas di rumah tersebut.

Namun, keadaan menjadi semakin menyeramkan apabila Dini mendapati sebuah keluarga misteri telah pun mengunjungi rumah tersebut sehari sebelumnya. Keluarga Juan dan Lisa tiba dengan membawa seorang nenek yang kelihatan aneh dengan perut buncit, seperti sedang mengandung. Ketika Dini berinteraksi dengan nenek tersebut, suasana mulai berubah, dan dia menyedari bahawa nenek itu bukanlah manusia biasa.
Tidak hanya terperangkap dalam rumah mewah tersebut, Dini dan dua pencuri tersebut juga terperangkap dalam ritual mistik yang berkaitan dengan ilmu hitam. Apabila bulan merah muncul pada Malam Suci, mereka berhadapan dengan makhluk ghaib yang mencari mangsa. Dalam kesempitan, Dini berjuang untuk menyelamatkan anak dalam kandungannya, berhadapan dengan cabaran yang lebih besar daripada yang pernah dia bayangkan.

Pengarah filem ini, Helfi Kardit, mengambil inspirasi daripada kisah nyata penemuan bayi yang dibuang berdekatan rumah Nana Mirdad. Dalam kisah sebenar, bayi itu telah diselamatkan dan dihantar ke tempat yang sepatutnya. Peristiwa tersebut memberikan impak besar terhadap Helfi dan mendorongnya untuk mencipta Malam Keramat sebagai sebuah karya yang mengangkat tema perjuangan seorang ibu untuk melindungi anak dari ancaman ghaib.
Filem Malam Keramat telah menerima sambutan yang sangat positif daripada penonton. Salah seorang penonton, Shahrul Malik, memberikan rating 9/10, mengatakan bahawa filem ini menawarkan pengalaman seram yang unik dan penuh dengan elemen “creepy” yang berkesan. Kejayaan filem ini juga dijangka akan terus meraih perhatian lebih ramai penonton seram di Malaysia dan Indonesia.
Dengan gabungan kisah yang menyeramkan, elemen mistik, serta perjuangan seorang ibu yang tidak kenal putus asa, Malam Keramat dijangka akan menjadi filem seram yang tidak boleh dilepaskan oleh penggemar genre ini.
Jangan ketinggalan menonton filem seram penuh debaran ini di pawagam berhampiran anda!