

Walaupun masyarakat hari ini hidup dalam era serba moden dan dikelilingi teknologi canggih, isu berkaitan saka dan khadam masih menjadi antara topik mistik yang sering mencetuskan perbincangan. Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin dianggap sekadar cerita turun-temurun, namun realitinya masih terdapat individu yang mendakwa berdepan gangguan luar biasa yang sukar dijelaskan secara logik.
Menerusi program keagamaan popular Tanyalah Ustaz, persoalan berkaitan saka dan khadam dikupas secara ilmiah oleh Ustaz Hanafi dan Da’i Aiman bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat. Menurut Ustaz Hanafi, saka merujuk kepada golongan jin yang mempunyai ikatan atau perjanjian tertentu dengan manusia dan dalam sesetengah keadaan bertindak sebagai ‘khadam’ atau pembantu kepada individu serta keluarga tertentu.
Beliau menjelaskan bahawa perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila ikatan tersebut berterusan sehingga diwarisi oleh generasi seterusnya sekiranya tidak diputuskan mengikut syariat Islam. Menurutnya, gangguan yang berlaku boleh hadir dalam pelbagai bentuk seperti bisikan, ketakutan yang tidak dapat dijelaskan atau keadaan tertentu yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan seseorang.
Dalam pada itu, Da’i Aiman turut menyentuh tentang faktor yang mendorong segelintir individu masih memilih untuk bergantung kepada saka atau khadam walaupun hidup dalam masyarakat moden. Menurut beliau, keadaan itu lazimnya berpunca daripada kelemahan pegangan dan kurangnya kefahaman mengenai konsep tawakal serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Tambahnya lagi, ada yang melihat kewujudan saka sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kelebihan tertentu, perlindungan atau kemudahan dalam kehidupan. Namun, kepercayaan bahawa makhluk ghaib mampu memberikan manfaat secara mutlak boleh menjejaskan akidah dan membuka ruang kepada perbuatan syirik yang dilarang dalam Islam.
Perbincangan yang diketengahkan dalam Tanyalah Ustaz ini turut mempunyai kaitan rapat dengan filem seram psikologi tempatan terbaharu, Khadam, arahan Shamyl Othman. Filem terbitan Red Communications dan Komet Productions itu mengangkat tema mistik yang dekat dengan masyarakat, sambil mengetengahkan persoalan akidah, identiti dan pergantungan terhadap kuasa ghaib.
Menampilkan pelakon terkenal Indonesia, Aghniny Haque, bersama Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim, Khadam mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi khadam peninggalan keluarganya selepas kematian ibunya. Konflik mula tercetus apabila entiti tersebut muncul sebagai versi dirinya yang lebih sempurna dan berusaha mengambil alih kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu.
Gabungan elemen seram psikologi, konflik kekeluargaan dan persoalan spiritual menjadikan Khadam bukan sekadar sebuah filem hiburan, malah membuka ruang kepada penonton untuk memahami bahaya pergantungan terhadap makhluk ghaib serta kepentingan menjaga akidah dalam kehidupan seharian.
Bagi yang masih belum menyaksikan Khadam, filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Selain menawarkan pengalaman seram yang mendebarkan, naskhah ini turut mengajak penonton merenung isu kepercayaan dan akidah yang masih relevan dalam masyarakat hari ini.









