Maher Zain Bakal Gegarkan Malaysia Dengan Malam Muzik Bermakna

Selepas enam tahun penantian, “The Journey to the Far East: Maher Zain , The Live Experience (Kuala Lumpur)” akhirnya menggegarkan pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi. Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon, serta berjaya menghimpunkan lebih 5,000 peminat yang hadir meraikan kepulangan semula artis muzik kerohanian bertaraf dunia itu.

Seawal lewat petang, ribuan peminat sudah mula memenuhi lokasi. Mereka terdiri daripada remaja, pasangan muda hinggalah keluarga bersama anak-anak, menggambarkan daya tarikan Maher Zain yang melangkaui generasi.

Persembahan dimulakan dengan lagu ikonik “Assalamu Alayka” yang serta-merta menghidupkan suasana dewan. Selama hampir dua jam, Maher Zain mempersembahkan deretan lagu popular yang dekat di hati peminat seperti “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life”. Ada yang menitiskan air mata, ada yang berpelukan bersama keluarga, malah ramai yang mengangkat tangan dengan penuh rasa syukur dan ketenangan.

Suasana mencapai kemuncaknya apabila ribuan penonton menyanyi bersama-sama, mewujudkan keharmonian seolah-olah pertemuan semula penuh kerinduan antara Maher Zain dan peminat di Malaysia. Sebelum menutup malam dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”, Maher Zain berkata, “Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi.”

Pengerusi dan Pengasas YTA, YM Tengku Shaheera binti Tengku Tan Sri Abdullah, turut menyatakan rasa syukur kerana dapat menganjurkan konsert bersama Maher Zain. Beliau berkata, konsert ini lebih daripada hiburan kerana ia mencerminkan nilai iman, kemanusiaan, dan kasih sayang. Katanya, apabila ribuan orang berkumpul untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati.

“The Journey To The Far East: Maher Zain , The Live Experience (Kuala Lumpur)” bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah malam penuh makna. Setiap bait lirik, setiap melodi dan setiap detik di pentas meninggalkan kenangan yang akan terus terpahat di hati peminat. Ia menjadi peringatan tentang cinta, harapan, rasa syukur serta pentingnya kebersamaan dalam komuniti.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi konsert iaitu Era FM, Sinar FM, Zayan FM, Syok, Says Seismik, World of Buzz, Lobak Merah, serta rakan kerjasama Awakening Music. – Tehtariktimes