Rong Geng Entertainment mengumumkan penganjuran Konsert “For You: Nourul”, sebuah persembahan eksklusif meraikan lebih 30 tahun perjalanan seni Nourul Depp dalam industri muzik Malaysia. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8.00 malam.
Dengan gabungan produksi pentas moden, susunan muzik kontemporari dan visual premium, konsert ini dijangka menarik kehadiran lebih 1,500 penonton terdiri daripada peminat setia, rakan media, penggiat industri kreatif dan komuniti seni tempatan.
Konsert “For You: Nourul” membawa penonton menelusuri evolusi muzik Nourul sejak era 90-an hingga kini, memperlihatkan kekuatan vokal dan kematangan gaya persembahannya. Antara yang bakal ditampilkan ialah persembahan energetik dengan sentuhan moden, segmen akustik berbentuk “intimate storytelling”, kolaborasi bersama pemuzik profesional dan tayangan visual khas mengimbau perjalanan karier beliau.
Bagi Nourul, konsert ini merupakan detik penting yang sarat emosi. Menurutnya, peluang kembali ke pentas besar sebagai artis solo adalah impian lama yang akhirnya menjadi kenyataan. Beliau berjanji memberikan persembahan yang jujur, bertenaga dan penuh jiwa sebagai hadiah buat peminat yang menyokongnya selama tiga dekad.
Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Bin Kuswadinata, menyifatkan konsert ini sebagai perayaan ketabahan dan evolusi seni Nourul. Katanya, mereka mahu penonton merasai perjalanan penyanyi tersebut melalui visual, muzik dan penceritaan yang menyentuh emosi.

Tiket konsert akan mula dijual di ticket2u bermula 2 Disember 2026, jam 12 tengah hari dengan harga RM105 (Gold), RM155 (Diamond), RM255 (Platinum) dan RM355 (VIP). Maklumat lanjut berkaitan penganjuran akan dikemas kini dari semasa ke semasa.