KEB Berhad Meterai Perjanjian Taja Jamin Bersama M&A Securities Menuju Pasaran ACE

Pemaju hartanah tempatan berpengalama KEB Berhad (KEB), kini melangkah setapak lagi ke arah tawaran awam permulaan (IPO) selepas memeterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities Sdn. Bhd. bersempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. Langkah ini menandakan detik penting bagi kumpulan berkenaan dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran domestik melalui kemudahan akses kepada pasaran modal.

Sepanjang lebih dua dekad bertapak dalam industri hartanah sejak 2004, KEB telah membina rekod pencapaian kukuh menerusi pembangunan segmen kediaman, perindustrian, komersial serta kegunaan campuran. Kekuatan utama kumpulan turut disokong oleh keupayaan pembinaan dalaman melalui anak syarikatnya, KEB Utama Sdn. Bhd., sebuah kontraktor berdaftar Gred G7 CIDB. Kelebihan ini membolehkan pemaju berkenaan mengekalkan kawalan mutu yang ketat, memantau pelaksanaan kerja dan memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, KEB telah berjaya menyiapkan 14 projek pembangunan hartanah setakat ini. Kumpulan ini sedang aktif mengendalikan dua projek dalam pembinaan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM773.29 juta, di samping merangka empat projek masa hadapan yang membawa anggaran nilai GDV sebanyak RM940.74 juta, sekali gus menyediakan aliran projek yang kukuh untuk tempoh jangka sederhana.

Menerusi pelaksanaan IPO ini, KEB menawarkan sebanyak 226.78 juta saham biasa yang merangkumi terbitan awam 138.54 juta saham baharu dan tawaran jualan 88.24 juta saham sedia ada. Di bawah pemeteraian perjanjian tersebut, M & A Securities bertindak menaja jamin sejumlah 66.18 juta saham baharu, meliputi peruntukan untuk permohonan orang awam Malaysia serta agihan kepada pengarah, kakitangan dan individu yang layak memberi sumbangan kepada kejayaan kumpulan.

Pengarah Urusan KEB Berhad, Datuk Lim Kim Chong, menjelaskan bahawa penyenaraian di Pasaran ACE bakal menjadi pemangkin utama untuk fasa pertumbuhan seterusnya, terutama dalam memperluas portfolio pembangunan, menambah simpanan tanah strategik serta meningkatkan dana kewangan.

Hasil dana terbitan awam berkenaan akan dimanfaatkan bagi tujuan pemerolehan bank tanah, keperluan modal kerja pembangunan projek, penyelesaian pinjaman bank serta pembiayaan kos penyenaraian. M & A Securities bertindak selaku Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan dan Penaja Jamin, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. sebagai Penasihat Kewangan.