Kumpulan rock popular, Akim & The Majistret, terus mencipta fenomena apabila single terbaharu mereka, Juliet, berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs. Lagu ini juga menjadi satu-satunya lagu Melayu yang tersenarai dalam kelompok Top 3, di samping dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini. Pencapaian tersebut dianggap sebagai kejayaan luar biasa bagi industri muzik tempatan dan membuktikan penerimaan hangat peminat terhadap karya baharu kumpulan itu.
Vokalis Akim Ahmad menyifatkan kejayaan ini amat bermakna selepas penat lelah menyiapkan Juliet, yang sarat dengan emosi dan penceritaan. “Kami tidak sangka Juliet akan mendapat sambutan sebegini hebat. Ia adalah hadiah paling bermakna buat kami dan bukti bahawa muzik tempatan masih kuat jika disokong peminat,” katanya. Akim turut menekankan bahawa pencapaian ini diperoleh secara organik, hasil sokongan tulen peminat tanpa sebarang gimik. “Kejayaan berada di carta iTunes ini sangat kami hargai kerana ia datang daripada peminat sendiri. Kami tidak membeli angka atau menggunakan gimik; Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelasnya.

Bagi Akim & The Majistret, kejayaan ini menjadi suntikan semangat untuk terus berkarya dengan lebih jujur dan matang. “Ini satu peringatan bahawa peminat sentiasa mahukan muzik yang ikhlas. Selagi kami berkarya dengan hati, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” tambah Akim.
Kumpulan ini bakal melancarkan video muzik rasmi Juliet secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music pada Jumaat ini jam 3 petang. Video muzik tersebut menampilkan konsep unik dengan sembilan wanita yang membawa watak ‘Juliet’, termasuk selebriti ternama tanah air seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana, dan Farahdiya. Menurut Akim, kehadiran sembilan figura hebat ini memberi dimensi baharu kepada penceritaan lagu tersebut. “Setiap ‘Juliet’ membawa makna yang berbeza. Kami mahu peminat melihat bahawa Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi simbol kepada kekuatan, luka, dan keindahan emosi seorang wanita,” ujarnya.

Sejak dilancarkan, Juliet terus menerima reaksi positif di pelbagai platform penstriman digital dan media sosial, sekaligus mengukuhkan kedudukan Akim & The Majistret sebagai salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan. Dengan kejayaan di carta iTunes dan pelancaran video muzik yang dinanti-nantikan, Juliet dijangka akan terus mengukir sejarah tersendiri dalam perjalanan seni kumpulan ini.