Filem aksi paling dinanti tahun ini, Blood Brothers, bakal menghentak pawagam bermula 10 April 2025. Namun, sebelum ledakan aksi ini sampai ke layar lebar, siri jelajah eksklusif di bazar terpilih terus mencetuskan fenomena di kalangan peminat.
Terbaharu, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 (ABXFGR’25) di MITEC, Kuala Lumpur, menjadi hentian ketiga selepas kejayaan luar biasa di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri Cheras dan Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya. Sambutan di MITEC luar biasa. Peminat setia membanjiri lokasi untuk bertemu barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, dan ramai lagi.

Suasana di Absolut Bazaar meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Dari permainan pentas yang mencuit hati hingga persembahan bertenaga oleh Muzza, acara ini memukau semua yang hadir. Namun, yang paling mencuri perhatian adalah tayangan sedutan aksi eksklusif dari Blood Brothers yang membuat penonton terpaku.
“Kami sangat terharu dengan sokongan luar biasa ini. Blood Brothers bukan sekadar filem aksi biasa, ia sarat emosi, aksi mendebarkan, dan kisah persaudaraan yang akan meninggalkan kesan mendalam,” kata Sharnaaz Ahmad.
Di bawah Skop Productions dan Primeworks Studios, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik epik dengan aksi berkualiti tinggi dan jalan cerita yang padat dengan drama, ketegangan, dan nilai persaudaraan dalam dunia penuh tipu daya. Dengan barisan pelakon yang mantap dan produksi bertaraf antarabangsa, Blood Brothers bersedia menjadi filem aksi tempatan paling epik tahun ini.

Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 telah membuka tirai di MITEC sebagai festival perayaan terbesar tahun ini. Dengan lebih 700 vendor dan sasaran 2 juta pengunjung, acara ini menjanjikan pengalaman membeli-belah dan hiburan tanpa tandingan. Mini Absolut FoodFest turut menambah kemeriahan dengan lebih 80 vendor makanan dan minuman untuk berbuka serta sahur. Festival ini juga dimeriahkan oleh kehadiran selebriti popular seperti Uqasha Senrose, Aprena Manrose, Awal Ashaari, De Fam, Nadeera Zainal, Hael Husaini, Johan Ghazali, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Amelia Henderson, Ziana Zain, dan ramai lagi. Festival ini berlangsung selama 66 jam tanpa henti dari 21 hingga 24 Mac 2025.

Siri jelajah Blood Brothers akan diteruskan di beberapa lokasi lain sepanjang Ramadan, menawarkan lebih banyak kejutan buat peminat. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan dan nantikan tayangan rasmi Blood Brothers di pawagam bermula 10 April 2025.
Untuk perkembangan terkini tentang siri jelajah bazar Ramadan Blood Brothers, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.