FELDA mengucapkan penghargaan kepada Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Belanjawan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mewujudkan ekonomi inklusif dan progresif yang memberi fokus kepada kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat. FELDA menyambut baik pengumuman penting dalam belanjawan ini yang akan memberi impak langsung kepada komuniti FELDA dan kawasan luar bandar secara keseluruhan.
Pelbagai pengumuman yang termaktub dalam Belanjawan 2025 memberi manfaat khusus kepada komuniti FELDA. Antara inisiatif utama yang disambut baik termasuklah program pembangunan sosioekonomi, sektor pertanian, dan kesihatan, yang sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkasa rakyat luar bandar dan meningkatkan taraf hidup mereka.
- Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI)
FELDA sangat menghargai inisiatif kerajaan dalam memperkenalkan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI). Setakat ini, lebih 57% permohonan rancangan FELDA telah diluluskan, dengan pelbagai program yang melibatkan sektor pertanian, makanan, jahitan, herba, kesihatan, pelancongan, serta aktiviti hijau dan kitar semula. Program ini memberi peluang kepada komuniti FELDA untuk meningkatkan ekonomi mereka melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan memperkasa pembangunan sosioekonomi di luar bandar. - Peruntukan Khas untuk Sektor Pertanian dan Sawit
FELDA juga menyambut baik peningkatan peruntukan untuk sektor pertanian, yang melibatkan FELDA, FELCRA, dan RISDA, sebanyak RM2.6 bilion, meningkat dari RM2.4 bilion pada belanjawan sebelumnya. Ini akan memberi sokongan besar untuk kemajuan industri pertanian, terutamanya industri sawit. Selain itu, kerajaan juga mengumumkan peningkatan nilai ambang levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit, yang memberi peluang untuk mengukuhkan daya saing industri sawit negara di peringkat global. - Penambahbaikan Perkhidmatan Kesihatan dan Dialisis
FELDA sangat menghargai pengumuman penambahbaikan dalam sektor kesihatan, khususnya bagi rawatan dialisis peritoneal. FELDA terus komited dalam meningkatkan kemudahan pusat dialisis di kawasan FELDA bagi memastikan warga peneroka yang memerlukan rawatan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kesejahteraan fizikal dan kesihatan rakyat, terutama di kawasan luar bandar. - Pembangunan Infrastruktur dan Prasekolah
Salah satu pengumuman utama dalam Belanjawan 2025 adalah cadangan pembaikan infrastruktur jalan FELDA dan pembinaan prasekolah baru di tanah rancangan. FELDA melihat ini sebagai langkah penting dalam memperbaiki kemudahan asas dan pendidikan di kawasan luar bandar. Pembinaan prasekolah baru akan memberi peluang pendidikan awal yang lebih baik kepada anak-anak peneroka, sekaligus memberi mereka peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti sejak usia muda.
Dengan sokongan belanjawan ini, FELDA dan peneroka berusaha untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat peneroka. FELDA yakin bahawa dengan kerjasama yang erat antara kerajaan dan agensi berkaitan, visi untuk membentuk sebuah negara MADANI yang makmur dan rakyat yang sejahtera dapat tercapai.
FELDA berkomitmen untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar, serta memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Kerjasama antara sektor awam dan swasta, dengan sokongan belanjawan yang berfokuskan ekonomi MADANI, akan mempercepatkan usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh negara.
FELDA yakin bahawa pengumuman-pengumuman ini akan memberikan kesan positif yang besar dalam meningkatkan taraf hidup peneroka dan masyarakat luar bandar. Dengan usaha yang berterusan, FELDA dan peneroka akan berjaya mencipta kemakmuran bersama dalam negara yang lebih sejahtera.