Faktor Kontrak dan Perundangan Buat Lan Pet Pet Tidak Sertai Lagu Raya SenarioUnion

Pelawak kumpulan Senario, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet, mengakui sikapnya yang kini lebih berhati-hati terhadap kontrak dan aspek perundangan menjadi antara faktor beliau tidak terlibat dalam pembikinan dua lagu raya baharu oleh SenarioUnion pada tahun ini. Menurutnya, pengalaman bekerja dengan firma guaman sebelum ini membuatkan beliau lebih teliti sebelum menyertai sebarang projek, khususnya yang melibatkan penggunaan nama serta komitmen profesional. Lan Pet Pet berkata, setiap tawaran kini akan diteliti terlebih dahulu termasuk terma, syarat serta perjanjian sebelum beliau membuat keputusan untuk terlibat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Budaya Restaurant baru-baru ini sempena promosi konsert khas The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena pada 25 April 2026.

Dalam sesi tersebut, turut disentuh mengenai dua lagu raya baharu yang dirilis oleh SenarioUnion tahun ini iaitu Havocnya Raya dan Bila Lagi Nak Jumpa yang dihasilkan melalui kolaborasi bersama penyanyi terkenal Faizal Tahir. Bagaimanapun, Lan Pet Pet menjelaskan beliau tidak terlibat secara langsung dalam projek berkenaan kerana pengurusan lagu tersebut dikendalikan oleh pihak pengurusan projek lain. Walaupun tidak menyertai pembikinan lagu berkenaan, beliau memaklumkan beberapa rakan dalam kumpulan tetap berkongsi perkembangan projek tersebut dengannya. Antaranya termasuk Yassin Yahya yang menyatakan sokongan terhadap usaha menghasilkan lagu baharu sekiranya projek tersebut diuruskan dengan baik.

Lan Pet Pet turut berkongsi bahawa beliau lazimnya akan mendapatkan pandangan rakan sekumpulan sebelum membuat keputusan berkaitan kerjaya. Dalam hal ini, beliau sempat meminta nasihat daripada rakannya, Azlee Jaafar. Menurutnya, Azlee berpendapat beliau wajar mempertimbangkan untuk kembali menyanyi sekiranya peluang yang datang sesuai. Namun begitu, Mazlan tetap memilih untuk menilai setiap tawaran dengan teliti sebelum membuat keputusan kerana baginya pelbagai pandangan daripada pihak luar perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati.

Sementara itu, Azlee menegaskan bahawa keputusan Lan Pet Pet untuk tidak terlibat dalam dua lagu raya tersebut adalah sesuatu yang wajar dihormati. Menurutnya, walaupun Lan tidak menyertai projek berkenaan, usaha tetap diteruskan oleh ahli kumpulan yang lain. Beliau menjelaskan bahawa lagu Havocnya Raya tidak melibatkan perjanjian dengan Lan kerana pelawak itu ketika itu memberi keutamaan kepada projek Carnival, manakala lagu bersama Faizal Tahir pula dihasilkan berdasarkan perjanjian tertentu dan kemungkinan pada waktu tersebut Lan mempunyai komitmen lain sehingga tidak dapat bersama mereka.

Azlee turut menambah bahawa kumpulan Senario tidak mahu menyekat mana-mana ahli, lebih-lebih lagi ketika musim raya semakin hampir. Katanya, Faizal Tahir juga mahu lagu tersebut dilancarkan dengan segera, menyebabkan mereka perlu bergerak pantas untuk menyiapkannya. Menurut beliau, sambutan terhadap lagu tersebut sangat menggalakkan dan mereka menjangkakan jumlah tontonan di YouTube bakal mencecah satu juta dalam masa terdekat.

Menurut Azlee lagi, perkara paling penting ialah memastikan keharmonian kumpulan terus terpelihara selain setiap projek yang dijalankan mampu memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk para peminat yang telah lama menyokong perjalanan seni kumpulan lawak legenda itu.