Satu malam yang penuh gemilang di IOI City Mall, Putrajaya apabila tayangan perdana Ejen Ali The Movie 2 menghimpunkan pelbagai selebriti, wakil media, peminat setia, dan tokoh-tokoh industri kreatif tanah air. Sekuel animasi tempatan yang dinanti ramai ini nyata tidak mengecewakan malah mendapat pujian melangit daripada ramai penonton yang hadir.
Antara yang paling mencuri perhatian adalah pengarah terkenal Syafiq Yusof yang tanpa berselindung memberikan rating “1000/10” untuk filem ini. “Sangat best, saya bagi 1000/10 untuk filem Ejen Ali 2! Ini antara animasi terbaik yang Malaysia pernah hasilkan. Visual dia sangat realistik, shot pun rasa macam tengok live-action. Memang benchmark baru untuk animasi tempatan. Wajib tonton!” jelasnya penuh semangat.
Sementara itu, pengarah legenda Dato’ Yusof Haslam turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak tempatan. “Filem ini bertaraf antarabangsa. Dari segi pembikinan, memang sangat tinggi kualitinya. Saya bagi 10 bintang. Sangat membanggakan,” katanya yang turut hadir memberikan sokongan.
Ikon sukan negara, Dato’ Azizulhasni Awang yang juga duta Gardenia, turut memuji elemen emosi dan aksi yang diselitkan dalam filem ini. “Saya rasa macam-macam masa tengok tadi. Ada persahabatan, babak yang menyentuh hati, dan aksi yang penuh mendebarkan. Sangat menyentuh dan penuh nilai,” ulasnya ringkas.
Pelakon Fizo Omar pula mengakui tidak menjangka kualiti filem ini setanding filem antarabangsa. “Daripada grafik, jalan cerita, bunyi, sampai ke plot twist semuanya gempak. Memang buat kita tertunggu-tunggu dari awal sampai habis. Serius puas hati!”

Ejen Ali The Movie 2 merupakan naskhah animasi yang padat dengan aksi, emosi, dan mesej kekeluargaan yang menyentuh hati. Ia sesuai untuk tontonan semua peringkat umur dan pastinya akan memberikan satu pengalaman sinematik yang tidak mudah dilupakan. Tayangan rasmi akan bermula 22 Mei 2025 di pawagam seluruh negara, namun peminat boleh menonton lebih awal bermula 20 Mei di lebih 70 lokasi pawagam.
Filem ini diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Jangan lupa gunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 untuk sama-sama menyemarakkan misi nasional ini di semua platform media sosial. Tempah tiket anda sekarang sebelum terlambat misi ini bukan untuk dilepaskan!