Duyung Legenda Aurora Kembali! Trailer Penuh Aksi, Humor, dan Nostalgia

Trailer rasmi filem Duyung Legenda Aurora yang baru dilancarkan kini mencetuskan keterujaan ramai, menampilkan gabungan aksi lautan yang mendebarkan dan momen komedi yang bakal mencuit hati penonton. Dengan durasi 2 minit 11 saat, trailer ini memberi gambaran jelas bahawa penonton bakal disajikan sebuah hiburan keluarga lengkap dengan aksi, emosi, dan gelak ketawa, sambil menghidupkan kembali nostalgia selepas 17 tahun.

Menampilkan Anna Jobling sebagai Aurora, trailer memperlihatkan sisi anak duyung yang berani, lantang, dan sarat semangat mempertahankan lautan. Daripada adegan selaman dramatik hingga pertempuran di dunia darat, setiap babak disusun rapi untuk membina momentum pengembaraan yang padat dan bertenaga.

Tidak sekadar sarat dengan aksi, trailer ini turut diserikan elemen humor yang mencuit hati melalui kehadiran watak-watak sampingan yang menceriakan suasana. Aksi spontan serta dialog bersahaja daripada pelakon seperti Saiful Apek dan adik-beradik kumpulan Zero, Syarif, Syaiful, dan Atu, menambah sentuhan santai yang menghiburkan, sekali gus mengimbangi elemen epik fantasi dengan hiburan ringan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Kemunculan pelakon lagenda dari Duyung 2008, Maya Karin dan Yasmin Hani, bersama watak Orix yang dilakonkan oleh Yassin Senario, sebagai watak legenda yang mencuri perhatian, turut menghidupkan elemen nostalgia yang menghubungkan dua generasi penonton. Interaksi antara watak lama dan baharu menunjukkan bahawa Duyung Legenda Aurora bukan sekadar kisah pengenalan, tetapi kesinambungan legenda yang diperluaskan dengan dunia penceritaan dan konflik, sesuai untuk tontonan seisi keluarga hujung tahun.

Diterbitkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio, dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem ini membawakan skala produksi yang lebih megah, penceritaan yang lebih segar, dan pengalaman menonton yang penuh hiburan. Trailer terbarunya memberi bayangan bahawa Duyung Legenda Aurora bakal menghiburkan seisi keluarga pada hujung tahun ini.

Filem Duyung Legenda Aurora bakal menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami dunia fantasi penuh aksi dan keceriaan ini, dan kongsikan keterujaan anda di media sosial dengan tanda pagar #DuyungLegendaAurora dan #FilemHiburanHujungTahun.