Astro mempersembahkan drama bersiri terbaharu, ‘Andai Tiada Dia’, sebuah karya yang menggambarkan konflik dalam kehidupan perkahwinan, khususnya mengenai isu-isu yang dihadapi oleh pasangan suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga. Drama bersiri ini akan mula ditayangkan pada 21 Oktober dan bakal menemui penonton setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam di saluran Astro Ria (saluran 104).
‘Andai Tiada Dia’ adalah naskhah terkini terbitan Global Station yang mengupas kisah kehidupan suami isteri yang berhadapan dengan dilema untuk memiliki cahaya mata. Drama ini juga menyentuh konflik percintaan terlarang yang timbul antara adik dan abang ipar serta ketabahan seorang wanita dalam menghadapi pengkhianatan di dalam perkahwinannya. Penonton akan dibawa untuk merasai setiap suka duka yang dipaparkan melalui setiap konflik yang dirungkai dalam kisah ini.
Drama ini yang penuh dengan emosi dan ketegangan sepanjang 36 episod merupakan hasil garapan pengarah terkenal, Riza Baharudin. Ia menampilkan barisan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, dan Zahiril Adzim, yang pastinya akan membuatkan penonton terpaku dengan lakonan mereka.
Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Ria, “Setiap drama baharu yang dihasilkan oleh Astro adalah untuk menyentuh kehidupan sebenar penonton dari pelbagai lapisan masyarakat. Khususnya kepada mereka yang pernah melalui atau sedang menghadapi cabaran dalam perhubungan, drama ini pasti mengimbau kenangan dan memberikan perspektif baharu. Kami ingin mencipta sebuah drama yang bukan hanya menghiburkan, tetapi juga membawa perbualan tentang isu-isu penting dalam kehidupan pasangan suami isteri. Dengan mengangkat tema yang penuh kerumitan seperti ini, kami yakin penonton akan mendapat pengalaman menonton yang bukan sahaja mengusik emosi, tetapi juga membuka minda mereka.”
Pengarah Riza Baharudin turut berkongsi pengalamannya mengarahkan drama ini. Menurut beliau, “Komitmen para pelakon dalam membawakan watak-watak mereka sangat luar biasa, menjadikan setiap adegan penuh penghayatan seolah-olah mereka benar-benar merasai situasi tersebut. Kami juga menekankan elemen Syariah dalam drama ini, seperti isu hubungan bukan mahram, proses IVF, dan tempoh iddah. Dengan harapan agar elemen-elemen ini dapat memberikan panduan kepada penonton dalam kehidupan harian mereka. Setiap aspek telah diberi perhatian teliti, menjadikan drama ini bertepatan dengan selera penonton yang dahagakan naskhah yang sarat dengan makna.”
‘Andai Tiada Dia’ membawa kisah Suri (lakonan Ummi Nazeera) dan Haikal (lakonan Hisyam Hamid) yang telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Keinginan Suri untuk menjalani rawatan IVF ditolak oleh Haikal kerana dia sudah merasa bahagia dengan kehidupan mereka walaupun tanpa anak. Namun, keadaan berubah apabila adik Haikal, Hisyam, meninggal dunia, meninggalkan seorang bayi berusia empat bulan. Suri, yang tersentuh dengan nasib bayi tersebut, bertekad untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Namun, hubungan rumah tangga mereka mula berantakan apabila Intan* lakonan Mimi Lana), adik kepada Suri, hadir dalam kehidupan mereka dan menjalin hubungan sulit dengan Haikal di saat Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.
Penonton boleh mengikuti perkembangan penuh drama ini bukan hanya melalui saluran Astro Ria tetapi juga boleh distrim secara terus menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO, dan platform penstriman sooka.
Untuk menikmati drama ini dan banyak lagi tawaran menarik daripada Astro, anda boleh mendaftar untuk Astro Baharu melalui Jualan Jimat Besar dengan harga serendah RM41.99/sebulan. Pelanggan baru juga akan menikmati pemasangan percuma. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati hiburan terbaik di hujung jari anda! Layari laman web astro.com.my untuk maklumat lanjut mengenai langganan dan pakej yang tersedia.
Info Drama ‘Andai Tiada Dia’
Sinopsis:
Watak:
Hisym Hamid | sebagai | Haikal |
Ummi Nazeera | sebagai | Suri |
Mimi Lana | sebagai | Intan |
Zahiril Adzim | sebagai | Falah |
Husna Mustaffa | sebagai | Erma |
Lan Siro | sebagai | Ikhwan |
Kodi Rasheed | sebagai | Rafiq |
Mia Nasir | sebagai | Bainun |