DATO’ SRI SITI NURHALIZA Bakal Melancarkan Album Terbaharunya, SITISM Pada September Ini

Setelah menggegar dunia muzik dengan pelancaran album Sitism yang menampilkan 8 lagu pada bulan Jun yang lalu, kini, penyanyi terkenal Dato’ Sri Siti Nurhaliza muncul kembali dengan 4 karya tambahan yang memukau dalam edisi deluxe album tersebut.

Album deluxe Sitism yang kini melengkapkan senarai lagunya dengan 12 lagu yang mengujakan telah secara rasmi diperkenalkan kepada peminat muzik di seluruh platform digital pada 8 September 2023.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, 4 buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak 2 bulan pelancarannya.

Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau. Album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos 2023 lalu di platform snp.onpay.my. Album fizikal ini juga akan turut dijual dikedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

4 buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *