Dari Mangsa Ke Kes: Misteri di Sebalik Kematian Zulfahran Osman

Program siasatan terkenal TV3, Fail Mahkamah, kembali dengan dua episod istimewa yang menyingkap secara mendalam kes tragis melibatkan Zulfarhan Osman. Dokumentari bertajuk ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ ini akan bersiaran dalam dua bahagian, dengan episod pertama pada 12 Mac 2025 dan episod kedua pada 26 Mac 2025, jam 9 malam. Sebagai dokumentari pertama di Malaysia yang mengupas kes ini secara menyeluruh, ia merungkai perjalanan kes ini sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Dokumentari ini membawa penonton menyusuri kronologi insiden, punca kematian, serta perjalanan perbicaraan yang membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024. Dalam keputusan tersebut, hukuman penjara 18 tahun terhadap enam Orang Kena Tuduh (OKT) yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diketepikan, dan mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Keputusan ini menjadi titik perubahan dalam kes ini serta mencetuskan perbincangan hangat di media sosial dan dalam masyarakat.

Episod khas ini bukan sahaja menampilkan bukti-bukti utama dan keterangan saksi, malah turut memberikan analisis mendalam terhadap cabaran pihak pendakwaan dalam menegakkan keadilan. Dokumentari ini juga meneliti strategi pembelaan dan bagaimana perkembangan bukti yang dikemukakan membuka ruang kepada perubahan keputusan kes di peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

Selain itu, ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ turut menyoroti impak kes ini terhadap keluarga mangsa, institusi pendidikan, serta masyarakat secara umum. Dokumentari ini menampilkan perspektif pakar undang-undang, saksi, serta pihak berkepentingan yang terlibat dalam kes ini, memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesan dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya.

Dengan pendekatan yang teliti dan berpandukan fakta, dokumentari ini akan mengajak penonton menilai semula aspek keadilan dan perundangan dalam kes jenayah berprofil tinggi. Ia juga menjadi platform bagi masyarakat untuk memahami lebih mendalam mengenai sistem kehakiman di Malaysia serta cabaran dalam menegakkan kebenaran.

Saksikan episod khas Fail Mahkamah ini pada jam 9 malam di TV3 dan strim secara langsung di Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.