Sienna Spiro merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu dari London yang kini diiktiraf sebagai antara bakat paling menjanjikan dalam landskap muzik global. Dikenali dengan vokal soulful yang unik serta penceritaan lirik yang jujur dan dekat di hati pendengar, Sienna semakin mendapat perhatian peminat antarabangsa sehingga digelar sebagai “New Adele” generasi Z berikutan keupayaannya menyampaikan emosi dengan begitu mendalam dan tulus.
Sepanjang setahun kebelakangan ini, Sienna telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan. Beliau terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain mencuri perhatian menerusi EP sulungnya, Sink Now, Swim Later, yang dilancarkan pada awal tahun 2025. Projek ini menampilkan lagu-lagu seperti Origami, Back to Blonde dan Need Me, yang menerima sokongan awal daripada artis antarabangsa ternama termasuk SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Single popularnya, Maybe., telah meraih lebih 125 juta penstriman di seluruh dunia serta berjaya menduduki carta viral Spotify di empat buah negara. Selain itu, Sienna turut mencatat pencapaian penting dalam kerjayanya apabila membuat debut televisyen di The Late Show with Stephen Colbert, menyertai jelajah musim panas penyanyi multi-platinum Teddy Swims, serta menjadi artis pembuka tirai kepada Sam Smith dalam residensi eksklusif To Be Free: New York City di Brooklyn.
Di Malaysia, Sienna mula mencetuskan fenomena tersendiri menerusi single terbaharunya, Die On This Hill, terbitan Capitol Records, apabila lagu tersebut menerima sambutan luar biasa daripada peminat tempatan. Ia pantas menembusi carta penstriman utama dengan kedudukan ke-12 di Spotify Top 50 Malaysia serta ke-41 di Spotify Top 50 Global, sekali gus membuktikan bahawa karya Sienna bukan sahaja mendapat tempat di peringkat antarabangsa, malah berjaya menawan pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Populariti Die On This Hill turut terserlah menerusi gelombang video cover di Instagram dan TikTok yang dikongsi oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz dan Julia Duclos, selain sokongan daripada Key Opinion Leaders termasuk Elica Paujin dan Cici. Fenomena ini menjadikan lagu tersebut antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini.
Selain itu, kandungan kreatif yang dihasilkan oleh artis tempatan seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle turut mengukuhkan lagi impak Die On This Hill di Malaysia apabila mereka berkongsi interpretasi tersendiri terhadap lagu tersebut di media sosial, sekali gus memperluaskan jangkauan Sienna dalam kalangan pendengar tempatan.
Pada Oktober 2025, Sienna telah melancarkan single Die On This Hill menerusi Capitol Records sebagai susulan kepada You Stole the Show yang sebelum ini menerima pujian daripada media antarabangsa seperti CLASH, yang mengangkatnya sebagai “bona fide breakout talent”.

Menerusi Die On This Hill, artis berusia 20 tahun ini sekali lagi membuktikan keupayaannya menterjemahkan kisah patah hati menjadi karya yang sarat emosi. Menurut Sienna, lagu ini mengisahkan tentang cinta yang degil, iaitu perasaan yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka sedar sepatutnya melepaskan.
Single ini dihasilkan bersama barisan penerbit tersohor dunia termasuk Omer Fedi, Michael Pollack dan Blake Slatkin, serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah GRAMMY®, Rob Moose. Lagu ini menampilkan kekuatan vokal Sienna yang luar biasa dalam mengimbangi kegetiran emosi dan keteguhan jiwa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam industri muzik masa kini.