TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Dari Komuniti Untuk Komuniti: Simpunk Buka Pentas Suarakan Hak, Harapan dan Kebimbangan Generasi Masa Kini

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop rock baharu berasal dari Melaka, Simpunk, secara rasminya melangkah masuk ke persada seni tempatan menerusi pelancaran single debut mereka berjudul “Terbang”. Dicipta oleh Myra Bruno di bawah hak cipta Luncai Emas Sdn Bhd yang turut bertindak sebagai pengedar digital rasmi, naskhah ini membawa mesej mendalam tentang kebebasan jiwa, impian, dan keberanian melepaskan sesuatu yang disayangi demi menggapai haluan hidup yang lebih bermakna. Bagi Simpunk, muzik bukan sekadar rentak lagu semata-mata, sebaliknya merupakan wadah penceritaan jujur yang merangkum kisah persahabatan, ketabahan emosi, dan keazaman untuk terus melangkah walau berdepan ranjau kehidupan.

Ditubuhkan pada tahun 2025, Simpunk dibarisi lima pemuzik berbakat iaitu Afiq Bruno (vokalis), Aniq (gitaris), Noh Slash (gitaris), Wan Gegau (pemain bes), dan Nabil (pemain dram). Kehadiran Wan Gegau pelawak serta pelakon popular yang terkenal dengan tanda pagar “Nampaktakk” turut memberi keunikan tersendiri kepada dinamik kumpulan ini yang sebelum ini kerap beraksi secara langsung dalam pelbagai gig di Melaka dan seluruh tanah air. Kerjasama sulung bersama syarikat rakaman berpengalaman seperti Luncai Emas menjadi batu loncatan bermakna buat mereka dalam memperluas capaian karya serta memperkaya kepelbagaian genre dalam arus industri muzik moden.

Vokalisnya, Afiq, meluahkan harapan agar melodi dan lirik “Terbang” dapat menjadi peneman setia yang menyuntik inspirasi kepada pendengar yang sedang bergelut mengejar impian masing-masing. Lagu “Terbang” kini boleh didengari dan dimuat turun di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan KKBOX, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas.