
MIRI – Pengedar rasmi jenama BYD di Malaysia, BYD Sime Motors, terus meluaskan jejak pasarannya di Malaysia Timur menerusi pelancaran Pusat 3S serba baharu di Miri, Sarawak.
Kemudahan seluas 12,228 kaki persegi ini merupakan pusat 3S terbesar jenama itu di Sarawak setakat ini, menggabungkan perkhidmatan jualan, servis, dan bekalan alat ganti di bawah satu bumbung. Fasiliti ini menempatkan bilik pameran seluas 5,838 kaki persegi yang memuatkan sehingga lima buah kenderaan, manakala pusat servisnya seluas 6,390 kaki persegi dilengkapi enam ruang servis dengan keupayaan menyelenggara sehingga 35 buah kenderaan sehari demi menyokong lonjakan minat terhadap mobiliti elektrik di bahagian utara Sarawak.
Pusat kendalian Kah Progression Auto Sdn. Bhd. anak syarikat milik penuh Oriental Holdings Berhad dengan warisan automotif melebihi enam dekad disokong oleh kekuatan 15 tenaga kerja terlatih bagi memastikan standard perkhidmatan jualan dan lepas jualan yang optimum. Selain ruang jualan dan teknikal, hab bersepadu ini dilengkapi kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) terkhusus, ruang istirahat pelanggan, kaunter bar, bilik perbincangan, serta zon penyerahan kenderaan khas. Selaras dengan pembukaan ini, satu siri jelajah interaktif turut diadakan di Aras Bawah, East Court (Sayap Lama), Bintang Megamall dari 16 hingga 18 Oktober 2026 bagi mendekatkan inovasi teknologi bateri BYD dengan masyarakat tempatan.

Pelancaran cawangan Miri ini mengukuhkan lagi rangkaian rasmi BYD di Sarawak yang kini meliputi Kuching, Sibu, dan Miri, susulan pembukaan cawangan 3S pertamanya di Kota Kinabalu, Sabah pada Disember 2024. Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, Jeffrey Gan, bersama Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, menegaskan bahawa perluasan fasiliti ini bukan sekadar menambah titik jualan, malah memastikan pemilik EV di luar bandar utama menikmati sokongan pemilikan yang lancar, mampan, dan bertaraf dunia.










