Selepas tampil dalam program realiti popular Gegar Vaganza 2026, penyanyi bersuara gemersik, Nubhan meneruskan langkah seninya dengan pelancaran single terbaharu berjudul Andai Derita. Selepas beberapa tahun tanpa rakaman baharu, lagu ini menandakan kembalinya Nubhan ke dunia rakaman menerusi sebuah karya yang sarat dengan emosi dan kejujuran perasaan.
Andai Derita mengisahkan seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Lagu ini tidak menzahirkan amarah atau dendam, sebaliknya menampilkan cinta yang memilih untuk diam, bertahan dan akhirnya reda. Lirik seperti “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang” menggambarkan sebuah doa yang tidak terucap, manakala melodinya meresap ke dalam jiwa mereka yang pernah terluka dalam senyap. Setiap bait lagu ini seolah-olah mengajak pendengar untuk menerima hakikat bahawa tidak semua kesakitan perlu dijelaskan dengan kata-kata.
Menurut Nubhan, setiap insan pasti pernah melalui persimpangan derita dalam kehidupan. Lagu ini dihadirkan sebagai teman buat mereka yang memujuk hati dalam diam, kerana ada kalanya derita tidak perlu dilawan, sebaliknya diterima dengan penuh keikhlasan dan reda.

Sebelum ini, Nubhan dikenali sebagai salah seorang pelajar Akademi Fantasia musim keenam dan mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz dan Toi. Beliau terus mengukuhkan kerjayanya sebagai penyanyi dalam genre pop dan balada Melayu menerusi beberapa lagu popular seperti Oh Juwita serta lagu duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi pada tahun 2021. Selain bergiat aktif dalam bidang seni, Nubhan turut menceburi dunia keusahawanan serta menjadi pencipta kandungan di media sosial.
Single Andai Derita merupakan karya nyanyian Nubhan di bawah edaran label rakaman Luncai Emas, dengan hak cipta lagu dan lirik turut ditadbir oleh syarikat tersebut. Kerjasama ini menjadi platform strategik buat Nubhan untuk meneruskan perjalanan seni secara konsisten dalam industri muzik tempatan.
Pihak Luncai Emas berharap agar para pengamal media serta peminat dapat menerima, menghayati dan memberikan sokongan terhadap single terbaharu ini. Andai Derita kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music bermula 16 Januari 2026, manakala video muzik rasmi akan dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas dalam masa terdekat.
Sekian, terima kasih.
Luncai Emas Sdn. Bhd.