Dalam ‘Gadis dan Angan-Angan’, penonton akan dibawa menyelami dunia ceria tiga gadis yang berangan setinggi langit, namun berdepan dengan realiti kehidupan yang mencabar.
Siapa yang tidak pernah bermimpi tinggi, bukan? “Berangan itu free!” kata orang. Bersiaplah untuk terhibur dengan kisah tiga sahabat karib – Mila, Fida, dan Jue, yang semuanya mempunyai satu persamaan, iaitu kegemaran berangan! Tanpa disangka, sambil mengemas rumah orang, ketiga-tiga gadis ini sibuk membayangkan diri mereka sebagai CEO syarikat besar! Begitulah dunia yang penuh warna-warni dalam ‘Gadis dan Angan-Angan’, drama terbaru yang akan ditayangkan di slot Lestary TV3 bermula 28 September 2024, setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Untuk peminat yang ingin menyaksikan lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton.
Mereka membuktikan bahawa angan-angan tidak mengenal status dan usia! Bersedialah untuk menikmati drama ini yang pastinya akan membuat anda ketawa sambil tertanya-tanya, angan-angan apa pula yang akan muncul seterusnya?
Menggabungkan komedi santai dengan tema remaja, drama ini menampilkan tiga bintang muda berbakat, Riena Diana, Bella Dowanna, dan Arena Wan. Mereka menghidupkan watak Mila (Riena Diana), Fida (Arena Wan), dan Jue (Bella Dowanna), yang dikenali sebagai ‘Gadis Jenin’ kerana imaginasi mereka yang melampaui batas. Meskipun masih pelajar tingkatan enam, ketiga-tiga gadis ini bekerja sambilan sebagai cleaner selepas sekolah untuk membantu keluarga. Kehidupan mereka penuh liku, namun angan-angan tentang masa depan yang lebih cerah sentiasa menghiasi hari-hari mereka, seolah-olah setiap babak kehidupan adalah skrip filem mereka sendiri!
Bayangkan, sambil berborak di kelas, mereka mengimpikan menjadi detektif terkenal yang memecahkan misteri dunia, atau ketika mengelap cermin, mereka membayangkan diri sebagai doktor bedah yang menyelamatkan nyawa. Sungguh kreatif dan menghiburkan!
Sebagai anak sulung dalam keluarga besar, mereka tekun menjalankan tugas sambil memasang impian agar segala usaha mereka akan membuahkan hasil suatu hari nanti.
Cerita mereka bermula apabila percintaan di bangku sekolah musnah apabila kekasih masing-masing melanjutkan pengajian dan menemukan cinta baru. Walaupun hati mereka hancur, Mila, Fida, dan Jue tidak membiarkan kekecewaan menghalang langkah mereka. Mereka terus ceria dan berjaya menamatkan peperiksaan STPM bersama-sama, meskipun berdepan pelbagai cabaran sambil bekerja sambilan. Keputusan STPM mereka menjadi satu rahsia besar, di mana masing-masing merahsiakan hasil tersebut agar tidak mengecewakan teman-teman. Oleh itu, mereka berpura-pura tidak cemerlang dan menuding jari kepada kesibukan antara belajar dan kerja sambilan. Namun, secara diam, mereka memohon ke universiti pilihan tanpa pengetahuan masing-masing. Apa yang berlaku seterusnya pada hari pendaftaran universiti adalah satu kejutan besar. Adakah kejayaan ini membawa kegembiraan atau sebaliknya, membuka tirai kepada rahsia yang lebih besar yang akan menguji kekuatan persahabatan mereka?
Dengan plot yang ringan dan pelbagai telatah mencuit hati, setiap episod pasti membuat penonton tertanya-tanya tentang perkembangan kisah mereka. Selain menghibur, ‘Gadis dan Angan-Angan’ menyisipkan pesan-pesan penting tentang pendidikan, ketekunan, dan persahabatan.
Menurut Riena Diana, “Memainkan watak Mila dalam ‘Gadis Dan Angan-Angan’ sangat bererti bagi saya. Sebagai anak sulung, saya merasai setiap lapisan emosi Mila secara peribadi. Dia bukan sekadar gadis yang berani mengejar impian di tengah kesukaran, tetapi juga simbol kekuatan dan ketahanan yang sukar ditemui dalam watak remaja. Setiap cabaran, kesedihan, dan harapan yang dilalui Mila, serta tanggungjawab berat yang dipikulnya, seolah-olah mencerminkan perjalanan saya sendiri sebagai anak sulung.”
Beliau juga berharap drama ‘Gadis Dan Angan-Angan’ akan mendapat sambutan hebat. Meskipun mempunyai elemen komedi, drama ini tetap mengangkat isu-isu penting yang memberi inspirasi mendalam kepada penonton, kerana setiap episod memaparkan perjalanan hidup yang realistik, di mana kita semua pernah menghadapi kekecewaan dan mengharapkan masa depan yang lebih cerah.
Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Didie Alias, Ashraf Muslim, Bell Ngasri, Ozlynn, Azlee Khairi, Azrul Zaidi, Nadiya Nisaa, Amyza Aznan, Aleza Shadan, dan ramai lagi.
Apakah kerjaya atau angan-angan mereka kali ini? Dari menjadi polis trafik hingga ke SPRM, doktor hingga hartawan kaya, setiap episod pasti akan mengukir senyuman di wajah anda dengan pengajaran dan teladan tersirat dalam setiap angan-angan mereka! Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan komedi ringan yang menyentuh tentang kegigihan, impian, dan keazaman anak muda dalam menghadapi realiti hidup. Saksikan bagaimana gadis-gadis ini menggunakan imaginasi untuk melarikan diri dari masalah, serta bagaimana mereka mengharungi kehidupan sebagai pelajar yang bekerja keras demi masa depan yang lebih cerah.