Borak SeeNI Turun Padang Hulur Bantuan Kepada Asnaf dan Gelandangan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan, di mana umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal kebajikan bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda. Mengambil keberkatan bulan yang mulia ini, program bual bicara Borak SeeNI sekali lagi turun padang membantu golongan asnaf dan gelandangan di sekitar Chow Kit dengan meneruskan inisiatif kebajikan melalui program Bantu SeeNI. Memasuki tahun kedua penganjurannya, program ini sekali lagi mendapat kerjasama daripada Yayasan JCorp yang turut serta mengagihkan makanan berbuka puasa kepada golongan asnaf dan gelandangan sebagai usaha untuk meringankan beban serta berkongsi rezeki bersama masyarakat yang memerlukan. Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan diadakan di kawasan tempat letak kereta di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Sebanyak lebih 250 golongan asnaf dan gelandangan yang tinggal di sekitar kawasan tersebut menerima agihan makanan berbuka puasa yang terdiri daripada nasi putih ayam goreng kunyit, nasi lemak ayam berempah, mini roti john, kuih talam, aiskrim serta minuman. Mereka telah berkumpul dan menanti dengan sabar seawal jam 6 petang untuk menerima juadah berbuka puasa yang disediakan. Kru Borak SeeNI bersama kakitangan Yayasan JCorp turut meluangkan masa berbuka puasa bersama mereka sebelum menunaikan solat maghrib secara berjemaah di bawah khemah yang disediakan dengan hamparan tikar.

Selain pengagihan makanan berbuka puasa, Yayasan JCorp turut mengedarkan beg cenderahati yang mengandungi makanan kering serta care kit kepada golongan asnaf dan gelandangan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya. Pada masa yang sama, Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili oleh aktivis Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, yang telah aktif turun padang membantu golongan asnaf dan gelandangan di kawasan tersebut sejak tahun 2021.

Program ini turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman bersama pengacara Borak SeeNI iaitu Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli. Kehadiran mereka menzahirkan sokongan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Program kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak dan terawih secara berjemaah sebelum para hadirin menikmati hidangan moreh yang disediakan seperti kuih putu mayam dan ayam goreng daripada KFC, yang pastinya membawa kegembiraan khususnya kepada kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut.

Menurut Datin Norashikin Habibur Rahman, ini merupakan tahun kedua Borak SeeNI menganjurkan program Bantu SeeNI dengan kerjasama Yayasan JCorp dan Pertubuhan Jejak Jalanan. Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang diharap dapat menyemai semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik. Bantu SeeNI juga menjadi medium tanggungjawab sosial bagi pihak Borak SeeNI untuk menyantuni mereka yang memerlukan. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh Abbe Hae yang tidak pernah jemu membantu kanak-kanak asnaf dan gelandangan melalui pendidikan, dengan harapan ia dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka serta membantu memutuskan rantaian kemiskinan yang membelenggu sebahagian penduduk di Chow Kit.

Program ini turut mendapat sokongan daripada para sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Yayasan JCorp, KPJ Healthcare dan Pertubuhan Jejak Jalanan, selain wakil daripada penaja makanan seperti Mommypuff, Hotel Maya Kuala Lumpur, Penginfak Program Jom Jariah Ramadan IKAT (JIRIKAT), Reetz Roti John, Kak Tie Talam Gedik dan Haziq Food Industries yang turut membantu dalam proses penyediaan serta pengagihan makanan.

Melalui penganjuran program sebegini, ia secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan yang memerlukan.