Adiwira tempatan yang cukup ikonik, Keluang Man, kini bersedia untuk menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025! Lebih menarik, filem ini menjadi pembuka tirai kepada lahirnya Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) satu langkah besar yang bakal merancakkan dunia sinematik Malaysia dengan elemen superhero tempatan yang penuh aksi dan semangat kebangsaan.
Pelancaran treler rasmi yang ditunggu-tunggu akhirnya menemui peminat hari ini, bersama poster utama dan pengumuman pelbagai kempen strategik yang dirancang untuk membawa pengalaman Keluang Man melangkaui layar perak. Treler tersebut mendedahkan dunia ‘live-action’ Keluang Man yang lebih segar, moden dan sarat dengan visual dramatik yang memukau. Ia bukan saja membangkitkan kenangan dalam kalangan peminat setia, malah berjaya mencuri perhatian generasi baharu yang inginkan kelainan dalam filem tempatan.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif filem ini, usaha membawa Keluang Man ke layar perak telah bermula sejak tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk kerjasama bersama jenama Kopi Wonda, kemunculan sulung adiwira ini pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 serta mural gergasi yang menghiasi bandar Kluang. Jelasnya, filem ini bukan sekadar hiburan, tapi simbol semangat baharu dalam pembangunan industri filem tempatan.
Sebagai antara strategi pemasaran yang kreatif, Astro Shaw turut menjalin kerjasama bersama beberapa jenama terkemuka. Antaranya, pelancaran Wonda Kopi Kluang edisi khas yang menampilkan lima karakter dari dunia Keluang Man. Pembelian kopi ini membolehkan peminat mengumpul barangan eksklusif seperti rantai kunci, komik, figura aksi dan payung Keluang Man yang boleh didapati di kedai-kedai terpilih seperti 7-Eleven, myNEWS, Shell dan Petronas.
Tidak cukup dengan itu, sebuah menu khas turut diperkenalkan – Wonda-ful Keluang Man Burger, hasil kolaborasi dengan myBurgerLab. Burger ini tampil unik dengan roti berwarna maroon serta sos berasaskan kopi Wonda, melambangkan sut heroik Keluang Man. Boleh didapati di semua cawangan myBurgerLab bermula Mei ini.
Bagi memeriahkan lagi pelancaran filem ini, acara Keluang Man WONDA Fun Run akan berlangsung pada 18 Mei di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Larian sepanjang 5KM ini adalah sebahagian daripada program Car Free Morning, di mana peserta berpeluang menyarung kostum bertemakan Keluang Man dan jersi eksklusif yang ditawarkan kepada 1,000 pendaftar terawal.
Selain itu, kolaborasi bersama Royal Selangor memperkenalkan koleksi eksklusif figurin mini dan pin piuter edisi terhad, manakala jenama kasut tempatan Fung Keong tampil dengan koleksi sneakers ‘FK’ berinspirasikan sut Keluang Man. Jenama gaya hidup tempatan, Abstrax juga menyertai barisan kolaborasi dengan jersi eksklusif berkualiti premium yang pasti digemari peminat setia.
Filem Keluang Man diarahkan oleh Anwari Ashraf dan dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar sebagai Keluang Man, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, Pasal Productions dan disokong penuh oleh rakan strategik utama, Kopi Wonda.
Sambil menunggu tayangan rasmi di pawagam, anda boleh mengimbau semula siri animasi klasik Keluang Man yang kini boleh ditonton semula dari musim pertama hingga ketiga di www.keluangman.com. Jangan lupa ikuti segala kemas kini dan klip eksklusif di TikTok, Instagram, X dan Facebook rasmi Astro Shaw serta Astro Gempak. Gunakan hashtag rasmi #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi rasa teruja menyambut kebangkitan semula hero rakyat Malaysia!