Astro akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform hiburan pilihan utama di Malaysia dengan memperkenalkan tiga drama menarik di saluran Astro Ria (104) pada bulan Disember ini. Para penonton akan dihidangkan dengan drama terbaru yang penuh dengan kejutan dan emosi, bermula dengan Ofis Politik pada 4 Disember 2024, diikuti dengan Rahsiamu Selamat Denganku pada 9 Disember 2024, dan drama penuh konflik, Curang Tanpa Niat pada 23 Disember 2024.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, menyatakan, “Kami sangat teruja untuk melancarkan tiga drama baharu yang pasti akan menarik perhatian semua. Setiap drama mempunyai jalan cerita dan genre yang unik, direka untuk memenuhi selera penonton dari pelbagai lapisan umur. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa usaha keras daripada rakan-rakan produksi dan barisan pelakon berbakat yang menghidupkan setiap watak. Kami berharap Ofis Politik, Rahsiamu Selamat Denganku, dan Curang Tanpa Niat akan menjadi pilihan utama penonton sebagai penutup tahun ini, dan menyampaikan nilai-nilai murni yang memotivasi kita untuk memulakan tahun baru.”
Ofis Politik (Tayangan: 4 Disember 2024)
Drama komedi romantik ini akan membuka tirai Disember dengan kisah sekumpulan penjawat awam yang diletakkan dalam sebuah jabatan palsu, Jabatan Perantaraan, yang dipimpin oleh Encik Abdullah Abdullah (Rashidi Ishak). Mereka berusaha untuk membuktikan bahawa jabatan ini berfungsi dan relevan. Di bawah arahan pengarah Wan Hasliza dan Wan Alauddin, drama terbitan KL Motion Pictures ini terdiri daripada 16 episod dan turut dibintangi oleh Erysha Emyra dan Syafi Tee.
Rahsiamu Selamat Denganku (Tayangan: 9 Disember 2024)
Seterusnya, drama Rahsiamu Selamat Denganku mengisahkan tentang dua profesor, Hana dan Rafel, yang masing-masing menyembunyikan rahsia peribadi mereka sambil cuba menguruskan aplikasi kontroversial “Live or Die” (LOD) di kalangan pelajar. Dalam perjalanan mereka, tanpa disedari, kedua-duanya terjatuh cinta. Drama jenayah romantik ini dibintangi oleh Siti Khadijah Halim dan Alvin Chong, serta diarahkan oleh Jade (Blimey) dan Faliq Sharif. Ia juga mempunyai 16 episod dan merupakan hasil kerjasama MS Orange Solutions Sdn Bhd dan Blimey dari Korea.
Curang Tanpa Niat (Tayangan: 23 Disember 2024)
Drama Curang Tanpa Niat menggambarkan pergolakan hidup seorang isteri, Elina, yang terperangkap dalam situasi suaminya, Eshaal, yang terlibat dalam kecurangan di tempat kerja. Drama ini mengetengahkan isu percintaan, keluarga, dan konflik ketidaksetiaan dalam hubungan. Drama berdurasi 32 episod ini diterbitkan oleh iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd dan diarahkan oleh Eyra Rahman, dengan barisan pelakon utama seperti Shukri Yahaya, Mira Filzah, dan Sharifah Sakinah.
Ketiga-tiga drama ini juga boleh distrim secara On Demand melalui Astro Ultra/Ulti Box, aplikasi Astro GO, dan sooka, memberikan lebih banyak pilihan kepada penonton untuk menonton secara fleksibel. Untuk pengalaman hiburan tanpa gangguan, penonton boleh melanggan tawaran masa terhad Astro Baharu, JUALAN JIMAT BESAR, dengan harga serendah RM41.99/sebulan dan pemasangan percuma*. Untuk maklumat lanjut, layari astro.com.my untuk melanggan.
*Tertakluk pada terma dan syarat.
1) Info Drama ‘Ofis Politik’
Produksi : KL Motion Pictures Sdn Bhd
Info siaran : Bermula 4 Disember 2024, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 9 malam
Sinopsis:
‘Ofis Politik’ adalah sebuah komedi tentang sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh Datuk Harun untuk menyelewengkan duit. Namun selepas Datuk Harun meninggal dunia, rancangannya terbantut dan agensi itu terpaksa diisi dengan pekerja-pekerja kurang berprestasi dari kerajaan Bandar Mega. Encik Abdullah Abdullah, seorang yang malas bekerja, dilantik sebagai ketua pengarah dan melantik Zain untuk menguruskan Jabatan Perantaraan yang terdiri daripada pekerja-pekerja pelik dan bermasalah seperti Kursyia yang putus harapan, Kak Rosemarry yang ada agenda tersembunyi, Nessi yang ketagih media sosial, Ehsan yang beristeri dua, Mawar yang berkira, dan Zohri yang mudah marah.
2) Info Drama ‘Rahsiamu Selamat Denganku’
Produksi : MS Orange Solutions & Blimey
Info siaran : Bermula 9 Disember 2024, setiap hari Isnin dan Selasa, jam 11 malam
Sinopsis:
Seorang peminat K-pop, Profesor Hana yang jatuh cinta dengan seorang profesor macho bernama Rafel yang menyembunyikan sisi ‘geeky’-nya. Bersama-sama, mereka berusaha menumpaskan pencipta aplikasi ‘Live or Die’ (LOD). Dalam menyelesaikan masalah ini, mereka belajar untuk menerima diri mereka seadanya sambil membina hubungan yang penuh keraguan.
3) Info Drama ‘Curang Tanpa Niat’
Produksi : iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME)
Info siaran : Bermula 23 Disember 2024, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam
Sinopsis:
‘Curang Tanpa Niat’ memaparkan keharmonian sebuah keluarga yang retak kerana si suami mempunyai ‘office wife’ di pejabatnya. Patutkah Elina sebagai seorang isteri yang sah bertahan dengan semua ini?