Astro kembali membawakan program realiti nyanyian popular Kilauan Emas menerusi edisi terbaharunya, Kilauan Emas Selebriti 2026, yang akan mula bersiaran pada 22 Ogos ini, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105). Program ini turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Berbeza daripada format sebelum ini, Kilauan Emas Selebriti 2026 menampilkan peserta dalam kalangan selebriti veteran terkenal Malaysia dan bukannya penyanyi profesional.
Bagi memastikan keaslian konsep pertandingan, peserta yang layak mestilah warganegara Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas, bukan penyanyi profesional atau individu yang pernah menerima latihan nyanyian secara profesional serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.
Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Kilauan Emas Selebriti bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian, malah membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep “Talent That Gives Back”.
Menurut beliau, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bukan sahaja meraikan bakat tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat.
Beliau turut berkata program ini menampilkan segmen istimewa “Telan Kaset” yang akan menyaksikan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu.
Segmen tersebut diwujudkan bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara kekuatan utama Kilauan Emas sejak diperkenalkan.
Musim ini bakal menyaksikan 10 selebriti veteran terkenal berentap di pentas Kilauan Emas dalam usaha mengumpul sumbangan hasil kemenangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Kilauan Emas Selebriti 2026 turut menyaksikan kembalinya Raja Azura sebagai pengacara utama selepas pernah mengendalikan program tersebut dari musim pertama hingga musim kelima. Beliau akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara.
Barisan juri pula menampilkan Jihan Muse sebagai juri tetap bersama Datuk Yusry KRU, selain kehadiran juri jemputan yang akan berubah setiap minggu.
Penerbitan Kilauan Emas Selebriti 2026 turut disokong oleh Astro Gempak sebagai rakan digital dan SINAR sebagai rakan radio rasmi.
Program ini dibawakan khas oleh Arabic Gold menerusi semangat “Emas Tetap Emas”, yang meraikan nilai, pengalaman dan sumbangan insan yang terus berkilau seiring peningkatan usia.
Orang ramai boleh menyaksikan Kilauan Emas Selebriti 2026 di Astro Prima, atau menstrimnya menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka bermula 22 Ogos 2026.
Astro turut menawarkan Pek Astro X3, penawaran penstriman baharu tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak bermula daripada RM39.99 sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat.











