Sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang, ARIANI sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama fesyen Muslimah terkemuka menerusi penganjuran Pertunjukan Fesyen WARNA LEBARAN ARIANI 2026 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Acara berprestij ini menampilkan keindahan rekaan dan kreativiti ARIANI dalam meraikan warna sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan sempena sambutan Aidilfitri.
Pertunjukan fesyen ini menyaksikan lebih 100 rekaan hijab dan busana raya dipersembahkan di pentas peragaan, menampilkan motif alam, flora serta cetakan abstrak kontemporari. Kesemua rekaan digabungkan dengan pilihan material dan teknik cetakan yang unik serta pelbagai, menyerlahkan pendekatan moden dan elegan yang menjadi identiti ARIANI. Koleksi ini turut mengetengahkan warna-warna tular tahun ini seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green, yang disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan elemen klasik jenama tersebut. Acara ini telah dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada pelanggan VVIP dan setia ARIANI, rakan media, selebriti serta pempengaruh tempatan.
Dalam ucapannya, Datin Seri Farah Haryani, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., menyatakan bahawa Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar perhimpunan keluarga dan tradisi bermaaf-maafan. Menurut beliau, Aidilfitri merupakan masa untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang, manakala persalinan baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang kegembiraan serta kenangan bermakna yang diraikan bersama keluarga.

Koleksi WARNA LEBARAN ARIANI turut menampilkan lebih 400 variasi hijab polos dan bercorak yang memenuhi pelbagai gaya dan keperluan pengguna. Koleksi ini merangkumi pelbagai rekaan bawal satin, twill dan voile bercorak, selendang bercorak dalam material cotton, satin dan chiffon, serta selendang dan bawal polos yang dihiasi perincian berlian dan sulaman, ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna tumpuan Aidilfitri.
Keanggunan eksklusif turut diketengahkan menerusi koleksi ARIANI LUXE yang menampilkan lebih 100 rekaan istimewa dihiasi perincian French lace dan sentuhan kristal Swarovski. Setiap helaian tudung premium dihasilkan dengan ketelitian artisan menggunakan material berkualiti tinggi, menjadikannya antara koleksi tumpuan bagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Pertunjukan fesyen ini dibuka dengan penampilan pelakon dan penyanyi terkenal Elly Mazlein, atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom, selaku Muse ARIANI LUXE 2026. Penampilannya berjaya memukau tetamu dengan rekaan tudung eksklusif yang menyerlahkan keanggunan serta personaliti tersendiri, di samping meluahkan rasa teruja dan bersyukur dapat terus menjadi sebahagian daripada keluarga besar ARIANI.

Pertunjukan fesyen WARNA LEBARAN ARIANI 2026 turut mengekalkan tiga duta tetap jenama iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad, selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah ARIANI Ready-to-Wear Premium. Barisan selebriti lain yang turut memeriahkan pentas peragaan termasuk Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor, manakala Mira Filzah yang pernah menjadi duta ARIANI sebelum ini kembali menyerikan kempen raya ARIANI tahun ini.




Kemuncak majlis diserikan dengan kolaborasi antarabangsa tahun kedua antara ARIANI dan LIBERTY LONDON, gedung fesyen mewah ikonik dari London. Kolaborasi ini memperkenalkan 16 cetakan baharu eksklusif LIBERTY X ARIANI yang menampilkan pelbagai rekaan potongan tradisional bagi mengangkat keindahan warisan budaya Malaysia. Dikenali dengan fabrik berkualiti tinggi serta corak bunga ikonik yang bersifat malar zaman, kolaborasi ini melambangkan penyatuan nilai tempatan dengan estetika jenama antarabangsa.
Koleksi pakaian lelaki ARYAN turut dipersembahkan, menampilkan rekaan untuk semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga dewasa. Koleksi ini merangkumi baju Melayu sedondon, kurta dan jubah yang dihasilkan menggunakan material berkualiti tinggi dengan penekanan terhadap jahitan yang kemas dan terperinci. Tahun ini, figura lelaki ikonik Bront Palarae diperkenalkan sebagai duta ARYAN, sekali gus menambahkan daya tarikan kepada koleksi pakaian lelaki ARIANI.




Acara ini memberi tumpuan utama kepada busana raya daripada sub-jenama ARIANI Ready-to-Wear (RTW). Menurut Datin Seri Farah Haryani, sebanyak 300,000 helai busana raya disediakan bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, merangkumi pelbagai potongan seperti baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan, jubah serta rekaan moden lain. Walaupun hanya 140 rekaan dipersembahkan di pentas peragaan, koleksi lengkap ARIANI RTW menawarkan lebih 600 rekaan terkini yang merangkumi saiz bayi hingga dewasa. Setiap helaian dihasilkan menggunakan hampir 10 jenis material premium termasuk cotton, satin, twill, brocade, chiffon, crepe dan jacquard bagi memastikan keselesaan serta kualiti terbaik kepada pemakai.
ARIANI turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu di pusat membeli-belah KLGCC, yang menjadi simbol pertumbuhan berterusan jenama ini dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dan eksklusif kepada para pelanggan. Selari dengan DNA jenama, ARIANI kekal komited dalam menyediakan koleksi berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan, sama ada melalui butik fizikal mahupun platform dalam talian, dengan penekanan terhadap inklusiviti untuk semua peringkat usia tanpa menjejaskan aspek keselesaan, estetika dan praktikaliti.
Majlis ini diteruskan dengan Pertunjukan Fesyen ARIANI PREMIUM yang menampilkan rekaan eksklusif edisi terhad untuk pelanggan yang menghargai kemewahan dan keunikan. Kesemua koleksi sempena Aidilfitri ini telah berada di pasaran bermula sekarang bersempena Jualan Pra-Ramadan dan Jualan Mega Lebaran yang berlangsung sehingga malam raya. Acara berprestij ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina, serta diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor.



Untuk maklumat lanjut, pihak media boleh menghubungi Bahagian Promosi dan Pengiklanan ARIANI menerusi Fazreen Ramli di talian 012-2351842 atau emel fazreen@ariani.my, serta Ainaa Mohamed di talian 012-2861124 atau emel ainaa.mohamedsalim@ariani.my.