Ikon nasyid dan komposer tersohor Malaysia, Hafiz Hamidun kembali dengan album studio terbarunya yang berjudul “Haramain”, hasil kolaborasi kreatif bersama Sony Music Malaysia. Album ini diinspirasikan dari pengalaman spiritual Hafiz di dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah. Dalam pembikinan album ini, Hafiz turut berganding bahu dengan penulis lirik berpengalaman seperti ITO Lara, Fedtri Yahya, dan dirinya sendiri, menghasilkan karya yang sarat dengan makna spiritual dan kerinduan terhadap Tanah Suci.
Menurut Hafiz, pengalaman mengerjakan ibadah Haji dan Umrah memberikan inspirasi yang mendalam untuk mencipta album ini. “Perjalanan ke Tanah Suci membuka hati dan minda saya untuk menghasilkan lagu-lagu yang dapat membangkitkan rasa rindu serta keinginan menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” ujar Hafiz yang juga Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah NGO yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan.
“Haramain” menandakan kemunculan semula Hafiz dalam arena album penuh selepas kali terakhir muncul dengan album “Zikir Terapi (Acapella)” pada tahun 2021. Sebelum itu, album “Zikir Terapi Diri” yang dilancarkan pada 2011 mencipta fenomena besar. Hafiz mengakui, selepas tempoh mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau terfikir sama ada mahu meneruskan penghasilan album atau hanya fokus kepada single. Namun, kerinduan terhadap proses kreatif membawa beliau kembali ke studio untuk menghasilkan album konsep ini.
Salah satu lagu penting dalam album ini ialah “Zamzam”, kolaborasi bersama kumpulan Ruffedge, yang menjadi penanda aras keseluruhan album. Album “Haramain” mengandungi 10 trek, antaranya “Batu Hitam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Arafah”, dan “Kiswah”. Setiap lagu membawa pendengar menyusuri keindahan spiritual yang berakar dari pengalaman di Tanah Suci, menjadikannya lebih daripada sekadar muzik biasa, tetapi sebuah perjalanan jiwa.
“Album ini adalah cerminan cinta terhadap Mekah dan Madinah. Ia membawa pendengar ke satu dimensi baru yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT melalui muzik,” kata Hafiz.
Proses rakaman album ini mengambil masa enam bulan, bermula Jun 2024. Hafiz turut membawa sentuhan Timur Tengah dengan merakam beberapa elemen muzik di Istanbul, termasuk instrumen seperti baglama, klarinet, strings, dan perkusi, untuk memberikan nuansa autentik dari Turki, Arab Saudi, dan Mesir.
Secara keseluruhan, “Haramain” menampilkan gabungan pop nasyid dengan elemen Timur Tengah dan melodi akustik moden. Selain itu, video muzik lagu-lagu dalam album ini dirakam secara sinematik, menonjolkan keindahan Mekah dan Madinah, memberikan pengalaman visual yang mendalam.
Hafiz juga merancang untuk memperluaskan pengaruh album ini ke peringkat antarabangsa dengan menghasilkan versi terjemahan dalam bahasa Inggeris, Arab, Urdu, dan Mandarin. “Saya berharap Haramain menjadi teman spiritual yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT. Doakan usaha ini terus berkembang sebagai satu dakwah melalui muzik,” tambah Hafiz.
Album “Haramain” kini boleh didapati di platform penstriman utama seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, dan YouTube Music. Video muzik eksklusif pula boleh ditonton di saluran YouTube rasmi HafizHamidun.