JCC: JABATAN CALL CENTRE SENTIASA MENJAWAB PANGGILAN ANDA ‘HELO, I TOLONG YOU!’, BERSEDIA UNTUK GELAK KETAWA BERSAMA (JCC) DI TV3!

JCC

Ketawa merupakan antara satu terapi yang terbaik sekiranya kita berada dalam keadaan stress atau sedih. Jangan risau kerana ada cara mudah untuk kita mengatasi perkara tersebut dengan gelak ketawa bersama ahli keluarga anda hanya dengan menonton program sitkom terbaharu TV3 akan datang, Jabatan Call Centre (JCC)!

Bersiaplah untuk dihiburkan dengan lakonan mantap barisan pelakon berpengalaman seperti Rita Rudaini, serta bakat-bakat muda yang sedang meningkat naik seperti Izzue Islam, Andi Bernadee, Shiha Zikir, dan tidak ketinggalan, pendatang baru yang berbakat besar, Aya Amiruddin. Gabungan mereka yang bekerja di bawah satu bumbung yang sama pasti akan mencetuskan pelbagai situasi lucu dan menggelikan hati.

Sebagai pelanggan, kita semua pasti pernah menghadapi pelbagai masalah atau konflik ketika membeli barang. Kadang-kala, masalah tersebut boleh menjadi sangat rumit dan membuatkan kita rasa buntu. Di sinilah Jabatan Call Centre (JCC) memainkan peranan penting sebagai penyelamat yang sentiasa bersedia menawarkan bantuan kepada pelanggan yang memerlukan. Tidak kira masalah besar atau kecil, JCC akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan setiap isu yang dihadapi oleh pelanggan mereka. Namun, persoalannya, mampukah mereka menangani segala konflik yang bakal menimpa mereka?

Dalam siri ini, kita akan diperkenalkan dengan pelbagai watak menarik yang bekerja di JCC. Antaranya ialah Aya Amiruddin, seorang pempengaruh media sosial yang kini melangkah ke dunia lakonan buat pertama kalinya sebagai Hidayah. Hidayah digambarkan sebagai seorang yang bertenaga, tegas, dan sentiasa mempunyai idea-idea kreatif dalam menyelesaikan masalah. Dia juga mempunyai hubungan yang rapat dengan majikannya.

Majikan Hidayah, Rozy (dilakonkan oleh Rita Rudaini), atau lebih mesra dipanggil Boss Rozy, ialah seorang wanita yang sangat mementingkan penampilan diri dan seorang majikan yang tegas terhadap pekerjanya. Boss Rozy mempunyai seorang setiausaha yang ‘skema’ bernama Seri (dilakonkan oleh Andi Bernadee). Seri merupakan seorang peminat setia slot Akasia dan sangat mementingkan kebersihan di pejabat.

Seterusnya, kita ada Shiha Zikir yang membawakan watak Bashira, seorang penyambut tetamu yang sentiasa ceria dan bertenaga. Minatnya terhadap sukan jelas mempengaruhi cara pemakaiannya ke pejabat serta cara pemikirannya yang sering menerapkan taktik sukan dalam mengendalikan panggilan di JCC.

Akhir sekali, kita ada Izzue Islam yang memegang watak Zaharudin, seorang lelaki yang sentiasa tenang dan ‘cool’. Zaharudin percaya bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Dia memainkan peranan penting di pejabat kerana kepakarannya dalam pelbagai bidang seperti teknikal, kemahiran komputer, membaiki tandas, elektrikal, bertukang, dan banyak lagi.

Dengan barisan pelakon yang hebat dan jalan cerita yang menarik, siri ini pastinya akan menghiburkan penonton dengan pelbagai situasi lucu dan mencuit hati yang berlaku di JCC. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana mereka menangani pelbagai konflik dan cabaran dalam membantu pelanggan menyelesaikan masalah mereka.

Di Jabatan Call Centre (JCC), pelanggan sebenarnya tidak digalakkan untuk datang sendiri membawa barang yang bermasalah. Hal ini telah ditegaskan oleh Rozy semasa mesyuarat, kerana semua proses pemulangan barang rosak sepatutnya dilakukan melalui pos sahaja. Namun, nampaknya masih ada pelanggan yang degil dan lebih suka datang terus ke JCC tanpa membuat janji temu.

Jadi, apa yang bakal berlaku pada episod pembukaan nanti? Adakah kita akan menyaksikan situasi kelam-kabut apabila pelanggan ‘walk-in’ ini muncul di JCC? Mampukah kakitangan JCC menangani kerenah mereka dan mematuhi arahan Rozy? Atau adakah akan berlaku insiden lucu yang tidak dijangka?

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati malam minggu anda dengan menyaksikan kerenah lucu para pekerja Jabatan Call Centre (JCC) dalam siri terbaru yang bakal menghiburkan anda! Siri ini akan mula bersiaran pada 9 Ogos 2024, setiap hari Jumaat, tepat jam 10.00 malam. Anda boleh menontonnya secara langsung di Tonton melalui laman web www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton dari Google Play atau App Store untuk akses mudah di telefon pintar anda. Jadi, jangan lupa kosongkan jadual anda dan sediakan diri untuk ketawa berdekah-dekah bersama rakan dan keluarga sambil menyaksikan telatah pekerja JCC yang pasti akan menceriakan malam minggu anda!

Untuk mendapatkan info terkini tentang program kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *