Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, seramai 20 keluarga pemilik PROTON menyertai Konvoi Keluarga Merdeka AG Club, program pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh AG Autoworld, pengedar sah PROTON 4S di Malaysia Selatan.
Program tersebut direka khas untuk ahli AG Club terpilih dan ditaja sepenuhnya oleh AG Autoworld sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya pengalaman pemilikan PROTON.
Setiap keluarga yang menyertai konvoi menikmati pengalaman dan ganjaran bernilai lebih RM400 tanpa sebarang kos, sekali gus menyerlahkan keistimewaan menjadi sebahagian daripada ekosistem kesetiaan pelanggan AG Club.
Selari dengan semangat Merdeka, konvoi tersebut turut mengetengahkan kebanggaan terhadap Malaysia dengan menyokong jenama tempatan, menggalakkan pelancongan domestik serta mengeratkan hubungan dalam komuniti menerusi pengalaman kekeluargaan.
AG Club yang diilhamkan oleh AG Autoworld merupakan program kesetiaan berteraskan gaya hidup yang pertama seumpamanya dalam rangkaian pengedar PROTON.

Program tersebut bertujuan mentakrif semula pengalaman pemilikan kenderaan dengan menawarkan nilai tambah yang melangkaui proses pembelian.
Setiap pelanggan yang membeli kenderaan daripada AG Autoworld secara automatik menikmati keahlian AG Club seumur hidup, yang merangkumi pelbagai keistimewaan eksklusif, ganjaran daripada rakan kongsi, pengalaman gaya hidup terpilih serta acara komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif AG Autoworld, Janessa Kuek, berkata sambutan Merdeka merupakan detik bermakna untuk meraikan rakyat serta perniagaan tempatan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, Konvoi Keluarga Merdeka AG Autoworld mencerminkan semangat tersebut dengan menghimpunkan keluarga Malaysia, jenama tempatan dan destinasi tarikan dalam negara.
Konvoi tersebut merupakan antara inisiatif terbaharu AG Autoworld untuk menghargai pelanggan menerusi pengalaman bermakna yang dapat mengukuhkan hubungan serta memupuk kesetiaan jenama dalam jangka panjang.
Peserta memulakan perjalanan dari Hock Kee Kopitiam, antara rangkaian kopitiam halal tempatan yang berkembang di Malaysia.
Hock Kee Kopitiam dikenali dengan suasana kopitiam yang mengimbau nostalgia dan menawarkan pelbagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia seperti Nasi Lemak Banjir, Kari Laksa dan Nasi Ayam Kukus.
Konvoi kemudiannya diteruskan ke Skyline Luge Kuala Lumpur, salah satu destinasi rekreasi keluarga, sebelum diakhiri dengan pengalaman penjagaan kenderaan premium percuma oleh CARS International.
CARS International merupakan jenama tempatan yang terlibat dalam bidang perincian automotif atau auto detailing dan mempunyai pengalaman melebihi lima dekad.
Janessa berkata AG Autoworld mahu Konvoi Keluarga Merdeka membawa makna yang lebih mendalam dengan menjadikan pemilikan PROTON bukan sekadar mengenai mobiliti, tetapi turut membina rasa kekitaan, penghargaan terhadap kesetiaan pelanggan dan peluang mencipta kenangan bersama.
Sebagai antara kumpulan pengedar PROTON berprestasi tinggi di Malaysia Selatan, AG Autoworld terus memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman pelanggan menerusi inovasi, kecemerlangan perkhidmatan dan penglibatan komuniti.
Komitmen tersebut turut membolehkan AG Autoworld menerima pelbagai pengiktirafan daripada PROTON, termasuk pencapaian oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Janessa Kuek.
AG Club kini menjadi sebahagian daripada usaha strategik tersebut dengan menyatukan pemilikan automotif, ganjaran gaya hidup dan penglibatan komuniti dalam satu ekosistem.
Menerusi inisiatif seperti Konvoi Keluarga Merdeka, AG Autoworld mahu menunjukkan bahawa pengalaman memiliki PROTON bukan sekadar berkaitan proses pembelian kenderaan, sebaliknya turut merangkumi peluang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai, menghubungkan dan meraikan pelanggannya sambil menyokong jenama tempatan dan semangat Merdeka.











