BMS Holdings Berhad, peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu serta barangan kebersihan di Malaysia, mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi majlis pecah tanah bagi pembangunan bilik pameran utama Jubin BMS Seremban 2 yang baharu.
Pembangunan yang akan dibina di atas tanah milik kumpulan itu merangkumi kawasan binaan seluas lebih 37,000 kaki persegi.
Ruang berkenaan terdiri daripada bilik pameran, kawasan penyimpanan dan pergudangan, pejabat serta kemudahan sokongan.
Bilik pameran itu disasarkan siap menjelang Disember 2027 dan dijangka menjadi pembangunan Jubin BMS terbesar di Seremban.
Apabila siap kelak, kemudahan tersebut akan menyediakan ruang lebih luas kepada pemilik rumah, pereka dalaman, kontraktor dan profesional hartanah untuk meneroka pelbagai pilihan jubin, permukaan batu, peralatan mandian serta produk kemasan rumah.
Bilik pameran baharu itu terletak secara strategik di Seremban 2, salah sebuah perbandaran yang pesat berkembang di Negeri Sembilan.
Lokasinya berhampiran AEON Mall Seremban 2, antara destinasi runcit dan gaya hidup utama bagi penduduk sekitar.
Lokasi tersebut memberikan Jubin BMS akses kepada kawasan kediaman yang sudah matang, selain membolehkan kumpulan memperoleh manfaat daripada pembangunan projek perumahan baharu di Seremban 2 dan kawasan sekitarnya.
Berbeza daripada kedai runcit konvensional yang beroperasi di premis sewaan, keputusan BMS Holdings untuk memiliki tanah dan membangunkan bilik pameran sendiri mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap pasaran Seremban.
Format bilik pameran yang lebih besar itu juga membolehkan Jubin BMS menawarkan pengalaman lebih menyeluruh dengan kepelbagaian produk dan ruang paparan khusus.
Kemudahan tersebut akan membantu pelanggan membayangkan penggunaan bahan dan konsep reka bentuk yang berbeza dengan lebih baik untuk kediaman atau projek mereka.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, Seremban 2 merupakan pasaran yang menarik kerana menggabungkan kawasan tadahan kediaman matang dengan pembangunan berterusan dan pertumbuhan penduduk.
“Apabila lebih banyak rumah siap dibina dan pemilik rumah semakin memberikan penekanan terhadap reka bentuk, kualiti serta pengalaman hidup secara keseluruhan, kami melihat potensi yang baik untuk bilik pameran lebih besar dan komprehensif di lokasi ini,” katanya.
Menurut beliau, bilik pameran Seremban 2 itu direka sebagai sebuah destinasi utama dan bukan sekadar kedai runcit.
“Dengan keluasan binaan lebih 37,000 kaki persegi yang merangkumi ruang pameran, kawasan penyimpanan dan pergudangan, pejabat serta kemudahan sokongan, pembangunan ini akan memberikan kami kapasiti lebih besar untuk mempamerkan pelbagai produk dan konsep sambil menyokong operasi di bawah satu bumbung.
“Lebih penting lagi, pemilikan tanah dan pembangunan bilik pameran sendiri menunjukkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang Seremban dan Negeri Sembilan,” tambahnya.
Pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi BMS Holdings untuk memperkukuh rangkaian runcit fizikalnya di pusat populasi dan kawasan pertumbuhan utama di seluruh Malaysia.
Kumpulan percaya bilik pameran berformat besar yang terletak secara strategik boleh menjadi titik pertemuan penting dengan pelanggan.
Pendekatan tersebut amat relevan untuk produk seperti jubin, permukaan batu dan barangan kebersihan kerana proses melihat produk secara fizikal, memilih bahan dan mendapatkan perundingan reka bentuk masih menjadi aspek penting dalam keputusan pembelian.
Dengan Seremban 2 terus berkembang melalui pembangunan kediaman baharu serta kemudahan komersial dan gaya hidup sedia ada, bilik pameran utama itu dijangka meningkatkan keterlihatan jenama Jubin BMS.
Kemudahan tersebut juga akan meluaskan jangkauan kumpulan dalam kalangan pemilik rumah sedia ada dan generasi pembeli kediaman seterusnya di Negeri Sembilan.
Majlis pecah tanah itu menandakan bermulanya kerja pembangunan bilik pameran baharu Jubin BMS Seremban 2 yang dijadualkan siap menjelang Disember 2027.











