MN Holdings Raih Kontrak TNB Bernilai RM122.31 Juta

MN Holdings Berhad, pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur di Malaysia, mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. (MNUE), bersama Pembinaan Tajri Sdn. Bhd. (PTSB), memperoleh kontrak daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kontrak tersebut melibatkan pemasangan Kabel Bawah Tanah Litar Berganda 132 kilovolt baharu dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Tasek Gelugor ke PMU Bertam.

Kontrak yang dianugerahkan melalui perjanjian usaha sama tidak diperbadankan antara MNUE dengan PTSB itu bernilai RM122.31 juta, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan tetapi tidak termasuk semua duti import.

Di bawah perjanjian berkenaan, MNUE dan PTSB akan bertanggungjawab secara bersama dan berasingan terhadap pelaksanaan serta penyiapan kerja.

MNUE akan melaksanakan 80 peratus daripada skop kerja, manakala baki 20 peratus dikendalikan oleh PTSB.

Skop projek merangkumi pemasangan Kabel Bawah Tanah Litar Berganda 132kV baharu dengan kapasiti 2×180 Mega Volt-Ampere dari PMU Tasek Gelugor ke PMU Bertam.

Kerja tersebut melibatkan aspek kejuruteraan, reka bentuk, pembekalan dan pembinaan bagi sistem kabel 132kV baharu.

Ia turut merangkumi usaha mendapatkan permit daripada pihak berkepentingan, memulihkan permukaan serta struktur sedia ada dan membersihkan kawasan kerja.

Kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2026 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 450 hari dari tarikh permulaan.

Pengarah Urusan MN Holdings, Dato’ Clement Toh berkata, kontrak berkenaan memperkukuh peranan syarikat dalam menyokong pembangunan infrastruktur penghantaran kuasa Malaysia.

“Kami berbesar hati memperoleh kontrak ini daripada TNB, yang seterusnya memperkukuh peranan MN Holdings dalam menyokong infrastruktur penghantaran kuasa Malaysia.

“Anugerah ini mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kami menyediakan utiliti bawah tanah dan kerja infrastruktur kuasa yang kritikal, khususnya projek yang memerlukan kepakaran teknikal serta disiplin pelaksanaan yang kukuh,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia terus melabur dalam usaha memperkukuh infrastruktur kuasa bagi menyokong peningkatan permintaan elektrik, kebolehpercayaan grid dan keperluan tenaga jangka panjang.

Sehubungan itu, MN Holdings akan terus memberikan tumpuan kepada peluang dalam segmen utiliti dan infrastruktur kuasa.

“Kontrak ini turut menambah rekod prestasi kami dalam menyediakan kerja infrastruktur penting untuk ekosistem tenaga negara,” tambahnya.

Kontrak tersebut dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham MN Holdings sebaik sahaja kerja dimulakan.

Perolehan itu turut menunjukkan keupayaan berterusan kumpulan berkenaan mendapatkan projek infrastruktur di luar segmen pusat data.

Pencapaian tersebut sekali gus memperkukuh peranan MN Holdings dalam menyokong pembangunan infrastruktur kuasa, utiliti dan tenaga kritikal Malaysia.