BMS Holdings Bangunkan Bilik Pameran Utama Baharu di Seremban 2

BMS Holdings Berhad (BMS Holdings), peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu serta barangan kebersihan di Malaysia, mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi majlis pecah tanah bagi pembangunan bilik pameran utama Jubin BMS Seremban 2 yang baharu.

Pembangunan yang dibina khas di atas tanah milik kumpulan itu akan merangkumi kawasan binaan seluas lebih 37,000 kaki persegi. Ruang berkenaan terdiri daripada bilik pameran, kawasan penyimpanan dan pergudangan, pejabat serta kemudahan sokongan.

Bilik pameran tersebut disasarkan siap menjelang Disember 2027 dan dijangka menjadi pembangunan Jubin BMS terbesar di Seremban.

Apabila siap kelak, kemudahan itu akan menyediakan ruang lebih luas kepada pemilik rumah, pereka dalaman, kontraktor dan profesional hartanah untuk meneroka pelbagai pilihan jubin, permukaan batu, peralatan mandian serta produk kemasan rumah yang ditawarkan oleh kumpulan berkenaan.

Bilik pameran baharu itu terletak secara strategik di Seremban 2, salah sebuah perbandaran yang pesat membangun di Negeri Sembilan. Lokasinya juga berhampiran AEON Mall Seremban 2 yang menjadi antara destinasi runcit dan gaya hidup utama bagi penduduk sekitar.

Lokasi berkenaan memberikan Jubin BMS akses kepada kawasan kediaman yang sudah matang, selain membolehkan kumpulan itu memperoleh manfaat daripada pembangunan projek perumahan baharu di Seremban 2 dan kawasan sekitarnya.

Berbeza daripada kedai runcit konvensional yang beroperasi di premis sewaan, keputusan BMS Holdings untuk memiliki tanah dan membangunkan bilik pameran sendiri mencerminkan komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran Seremban.

Format bilik pameran yang lebih besar itu juga membolehkan Jubin BMS menawarkan pengalaman lebih menyeluruh dengan kepelbagaian produk serta ruang paparan khusus.

Kemudahan berkenaan akan membantu pelanggan membayangkan penggunaan bahan dan konsep reka bentuk yang berbeza dengan lebih baik untuk kediaman atau projek masing-masing.

Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, Seremban 2 merupakan pasaran yang menarik kerana menggabungkan kawasan tadahan kediaman matang dengan pembangunan berterusan dan pertumbuhan penduduk.

“Apabila lebih banyak rumah siap dibina dan pemilik rumah semakin memberikan penekanan terhadap reka bentuk, kualiti serta pengalaman hidup secara keseluruhan, kami melihat potensi yang baik untuk bilik pameran lebih besar dan komprehensif di lokasi ini,” katanya.

Menurut beliau, bilik pameran Seremban 2 itu direka sebagai sebuah destinasi utama dan bukan sekadar kedai runcit.

“Dengan keluasan binaan lebih 37,000 kaki persegi yang merangkumi ruang pameran, kawasan penyimpanan dan pergudangan, pejabat serta kemudahan sokongan, pembangunan ini akan memberikan kami kapasiti lebih besar untuk mempamerkan pelbagai produk dan konsep sambil menyokong operasi di bawah satu bumbung.

“Lebih penting lagi, pemilikan tanah dan pembangunan bilik pameran sendiri menunjukkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang Seremban dan Negeri Sembilan,” tambahnya.

Pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi BMS Holdings untuk memperkukuh rangkaian runcit fizikalnya di pusat populasi dan kawasan pertumbuhan utama di seluruh Malaysia.

Kumpulan itu percaya bahawa bilik pameran berformat besar dan terletak secara strategik boleh menjadi titik pertemuan penting dengan pelanggan.

Pendekatan tersebut amat relevan untuk produk seperti jubin, permukaan batu dan barangan kebersihan kerana proses melihat produk secara fizikal, memilih bahan dan mendapatkan perundingan reka bentuk masih menjadi aspek penting dalam keputusan pembelian.

Dengan Seremban 2 terus berkembang menerusi pembangunan kediaman baharu serta kemudahan komersial dan gaya hidup sedia ada, bilik pameran utama itu dijangka meningkatkan keterlihatan jenama Jubin BMS.

Kemudahan tersebut juga akan meluaskan jangkauan kumpulan dalam kalangan pemilik rumah sedia ada serta generasi pembeli kediaman seterusnya di Negeri Sembilan.

Majlis pecah tanah berkenaan menandakan bermulanya kerja pembangunan bilik pameran baharu Jubin BMS Seremban 2 yang dijadualkan siap menjelang Disember 2027.