Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang melancarkan Sistem Pengurusan Klinikal NORAV yang komprehensif, sebuah platform digital bersepadu yang direka untuk memusatkan maklumat diagnostik, memperkemas aliran kerja klinikal dan menyokong penjagaan pesakit yang lebih pantas serta terselaras.
Sistem ini menggabungkan pelbagai perkhidmatan diagnostik ke dalam satu platform yang saling berhubung, sekali gus membolehkan kakitangan penjagaan kesihatan mengakses maklumat pesakit dan laporan perubatan dengan selamat di mana-mana sahaja di dalam kawasan hospital.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Urusan Operasi Hospital & Penjagaan Kesihatan Sunway Healthcare Group, Dr. Khoo Chow Huat, bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow, Naib Presiden Jualan Antarabangsa NORAV Medical, Jordan Meshil, dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sun Medical Systems, Ravi Kumaran.
Platform Web Sistem Pengurusan ECG Perubatan NORAV (NEMS) mengintegrasikan enam perkhidmatan diagnostik iaitu elektrokardiogram (ECG), ujian tekanan jantung, ujian fungsi pulmonari (PFT), pemantauan Holter, pemantauan tekanan darah ambulatori (ABPM) dan ujian indeks tekanan buku lali-brachial (ABPI).
Melalui platform ini, maklumat diagnostik dapat disimpan dan dikongsi secara selamat dalam masa nyata merentasi jabatan berkaitan, sekali gus membolehkan kakitangan perubatan mengakses rekod pesakit dengan lebih pantas serta meningkatkan kecekapan interpretasi klinikal, pelaporan dan penyelarasan antara pasukan perubatan pelbagai disiplin.
Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow berkata pelaksanaan sistem tersebut mengukuhkan cara maklumat diagnostik diurus dan dikongsi di seluruh hospital, sekali gus memberikan pasukan klinikal akses kepada maklumat yang lebih tepat pada masanya untuk membuat keputusan perubatan.
Menurut beliau, sistem itu turut menyokong pengalaman rawatan yang lebih lancar dengan mengurangkan masa menunggu laporan diagnostik serta meningkatkan koordinasi antara doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat dalam penjagaan pesakit.
Dengan menggantikan proses manual kepada aliran kerja digital, platform NORAV membantu mengurangkan beban pentadbiran, meningkatkan kecekapan operasi dan memudahkan akses kepada rekod diagnostik semasa serta terdahulu.
Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Kardiologi SMCV, Dr. Tee Chee Hian berkata akses kepada maklumat diagnostik yang lengkap dan tepat pada masanya amat penting dalam menyokong keputusan klinikal, khususnya apabila pesakit memerlukan beberapa ujian serta rawatan daripada pelbagai pakar.
Beliau berkata sistem bersepadu itu membolehkan doktor menyemak keputusan ujian dengan lebih pantas bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan pesakit serta memudahkan penyelarasan rawatan antara pasukan perubatan.

Selain meningkatkan kecekapan klinikal, pelaksanaan sistem ini turut menyokong usaha SMCV ke arah hospital yang lebih lestari melalui pengurangan penggunaan rekod bercetak. Pendigitalan laporan ECG dan maklumat diagnostik lain dijangka mampu mengurangkan penggunaan kertas ECG sehingga 50 peratus.
Naib Presiden Jualan Antarabangsa NORAV Medical, Jordan Meshil berkata sistem tersebut mempercepatkan perkongsian maklumat diagnostik antara jabatan, selain mengurangkan keperluan mencetak rekod kerana semua maklumat boleh diakses secara digital di seluruh hospital.
Susan Cheow turut menegaskan bahawa Sistem Pengurusan Klinikal Komprehensif NORAV bukan sahaja meningkatkan kecekapan klinikal dan operasi hospital, malah menyokong usaha kelestarian melalui pengurangan penggunaan kertas tanpa menjejaskan kualiti, keselamatan dan kebolehcapaian maklumat pesakit.
Pelaksanaan Sistem Pengurusan Klinikal Komprehensif NORAV merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Perubatan Sunway Velocity dalam memperkukuh transformasi digital, meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih lancar, pintar serta bersepadu kepada pesakit.










