
SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah merasmikan Cerebral Palsy Symposium 2026 bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, bagi memacu hala tuju penjagaan palsi serebrum (CP) yang lebih tersusun, inklusif dan berterusan sepanjang hayat di Malaysia. Simposium dwi-tahunan bertemakan “Unified Care for Cerebral Palsy: Advancing Lifelong Care, Inclusion & Possibilities” ini menghimpunkan seramai 150 peserta merangkumi pakar perubatan, ahli akademik, penyelidik, ahli terapi, penjaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik dari pelbagai sektor.
Penganjuran ini menekankan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merapatkan jurang perkhidmatan rawatan agar tidak tertumpu kepada intervensi klinikal semata-mata, sebaliknya merangkumi pemulihan holistik, pendidikan khas, teknologi bantuan, serta integrasi sosial. Bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) dan Hari Cerebral Palsy Sedunia, inisiatif ini memperkukuh kerjasama strategik pelbagai disiplin bagi memastikan komuniti palsi serebrum memperoleh sokongan menyeluruh daripada peringkat awal diagnosis hingga usia dewasa.
Antara intipati penting yang dibentangkan adalah pembentukan pelan tindakan menerusi sesi plenari “Moving Forward – Malaysia Cerebral Palsy Roadmap” serta ucaptama mengenai piawaian global oleh Pakar Perunding Neurologi Pediatrik, Dr. Khoo Teik Beng. Perkembangan ini menggariskan keperluan intervensi awal, pengurusan multidisiplin berterusan, dan pencegahan komplikasi sekunder. Usaha bersepadu ini diharap menjadi pemangkin kepada penggubalan polisi kesihatan yang mampan, memperluas akses kemudahan rehabilitasi awam, dan mempertingkatkan kualiti hidup individu dengan palsi serebrum serta keluarga mereka di seluruh negara.






