Makanan Tradisional Sebenarnya Rahsia Pemakanan Atlet Bertaraf Dunia

Pemakanan atlet elit sering dikaitkan dengan makanan khas, minuman pemulihan dan suplemen yang dirumuskan secara saintifik. Namun menurut Naib Presiden Kesihatan dan Kesejahteraan Herbalife, Dr. Luigi Gratton, prinsip pemakanan atlet profesional sebenarnya tidak jauh berbeza daripada makanan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Beliau berkata makanan yang dimasak menggunakan bahan-bahan segar dan seimbang di dapur keluarga mempunyai banyak persamaan dengan pemakanan sukan moden kerana kedua-duanya berasaskan keseimbangan makronutrien, penggunaan hasil tanaman bermusim, protein rendah lemak, bijirin penuh serta lemak sihat.

Menurut beliau, ketika dunia memberi perhatian kepada temasya bola sepak terbesar, ramai tertanya-tanya mengenai rahsia pemakanan pemain bertaraf dunia. Hakikatnya, hidangan tradisional dari pelbagai negara sebenarnya memenuhi prinsip yang sama seperti Pinggan Prestasi yang digunakan oleh atlet elit.

Di Asia, hidangan seperti bibimbap dari Korea menggabungkan nasi, sayur-sayuran, daging rendah lemak dan telur, sekali gus menyediakan keseimbangan karbohidrat, protein dan nutrien penting.

Sup miso Jepun pula membekalkan elektrolit serta makanan yang menyokong kesihatan usus, manakala kunyit yang sering digunakan dalam masakan Asia Selatan dan Asia Tenggara mempunyai manfaat antiradang yang membantu proses pemulihan serta mengurangkan ketegangan otot.

Di Malaysia, konsep pemakanan seimbang telah diperkenalkan melalui Pinggan Sihat Suku-Suku Separuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi atlet elit, Institut Sukan Negara turut menggunakan prinsip yang sama sebagai asas strategi pemakanan untuk latihan, pemulihan dan prestasi.

Di Mexico dan Amerika Tengah, gabungan nasi, kacang, telur dan tortila seperti dalam hidangan huevos rancheros menyediakan kombinasi karbohidrat dan protein yang sesuai untuk dinikmati sebelum atau selepas latihan.

Di Brazil dan Amerika Selatan pula, hidangan seperti feijoada yang mengandungi kacang dan daging menyediakan sumber tenaga dan protein yang membantu proses pemulihan, manakala ceviche menawarkan pilihan protein rendah lemak yang sesuai untuk atlet. Minuman yerba mate yang popular di rantau tersebut turut mengandungi kafein yang sering digunakan sebagai sumber tenaga sebelum latihan.

Masakan Mediterranean yang terkenal dengan penggunaan makanan laut, minyak zaitun dan bijirin penuh juga memenuhi keperluan pemakanan atlet.

Hidangan seperti paella membekalkan gabungan karbohidrat dan protein yang sesuai untuk hari pertandingan, manakala salad Greek kaya dengan lemak sihat dan nutrien yang membantu mengurangkan keradangan.

Di Timur Tengah, humus, falafel, tabbouleh dan kurma merupakan antara makanan yang sesuai untuk atlet kerana membekalkan protein berasaskan tumbuhan, lemak sihat, mikronutrien dan karbohidrat semula jadi bagi menyokong tenaga serta penghidratan.

Bagi atlet yang berpuasa pada bulan Ramadan, makanan tradisional tersebut juga sesuai dijadikan hidangan berbuka kerana mampu membantu memenuhi keperluan nutrisi selepas berpuasa.

Di Afrika pula, nasi jollof yang dihidangkan bersama ayam atau ikan panggang menyediakan hidangan lengkap untuk atlet, manakala shakshuka yang menggabungkan telur dan sos tomato berempah menjadi pilihan sarapan yang kaya dengan protein dan mikronutrien.

Menurut Dr. Luigi Gratton, pengajaran paling penting ialah pemakanan sukan elit tidak memerlukan seseorang meninggalkan budaya makanan sendiri.

Beliau berkata prinsip pemakanan yang baik adalah sejagat, merangkumi keseimbangan makronutrien, penggunaan makanan lengkap, hasil tanaman berwarna-warni, penghidratan yang mencukupi dan pengambilan makanan yang sesuai dengan tahap aktiviti harian.

Menurut beliau, setiap negara yang mempunyai budaya bola sepak sebenarnya memiliki versi Pinggan Prestasi tersendiri. Walaupun bahan dan resepinya berbeza, prinsip pemakanannya tetap sama.

Beliau turut menegaskan bahawa makanan yang memberikan tenaga kepada pemain elit seperti Cristiano Ronaldo, Joseph Paintsil dan Riqui Puig tidak jauh bezanya daripada makanan tradisional yang dinikmati oleh kebanyakan keluarga setiap hari.

Katanya, sama ada seseorang bermain bola sepak pada hujung minggu atau sekadar aktif bersama keluarga, prinsip pemakanan yang sama mampu membantu membekalkan tenaga dan menyokong gaya hidup yang lebih sihat.