Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tempatan, Noh Salleh bakal mencipta satu lagi detik istimewa dalam perjalanan seninya menerusi penganjuran konsert solo berskala besar berjudul Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 8 November 2026.
Dikenali sebagai antara pemuzik, komposer dan penulis lagu paling berpengaruh dalam generasinya, Noh Salleh terus membuktikan keupayaannya menghasilkan karya yang merentasi pelbagai generasi dan genre muzik.
Konsert ini bakal menyaksikan karya-karya ikonik seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam dipersembahkan dalam susunan orkestra eksklusif di bawah sentuhan pengarah muzik dan komposer terkenal, Aubrey Suwito.
Dengan keberanian Noh bereksperimen dalam pelbagai genre termasuk rock alternatif, folk, pop, jazz, bossa nova dan muzik sinematik, persembahan ini dijangka menawarkan pengalaman muzik yang lebih mendalam serta penuh emosi kepada para penonton.
Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra merupakan konsert solo kedua Noh dalam format orkestra selepas kejayaan persembahannya bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.
Judul konsert ini diambil daripada perkataan Itali, “Cadenza”, yang membawa maksud solo, digabungkan dengan perkataan “Soul” yang melambangkan jiwa. Gabungan tersebut menggambarkan sebuah persembahan yang sarat dengan ekspresi emosi, penceritaan dan nilai seni menerusi kolaborasi dua figura muzik yang mempunyai identiti tersendiri.
Penganjur bersama, Altus Prohouse dan CK Star Entertainment berkata konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya menjadi penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang menggabungkan muzik, penceritaan dan emosi dalam satu malam istimewa bersama para peminat.
Menurut mereka, reputasi Aubrey Suwito sebagai antara pengarah muzik dan komposer paling disegani di Malaysia diyakini mampu memberikan dimensi baharu kepada karya-karya Noh Salleh, sekali gus menawarkan pengalaman konsert yang berbeza daripada persembahan beliau sebelum ini.
Menerusi konsert ini, lagu-lagu pilihan akan diberikan nafas baharu menerusi susunan orkestra tanpa menghilangkan identiti asal setiap karya. Pendekatan tersebut membuka ruang kepada penonton untuk menikmati karya-karya ikonik Noh Salleh daripada perspektif yang lebih mendalam.
Aubrey Suwito turut meluahkan keterujaannya untuk menjayakan projek berkenaan bersama Noh Salleh.
Beliau menyifatkan Noh sebagai seorang karyawan seni yang cukup genius dan percaya Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra bakal menjadi sebuah perayaan muzik yang penuh emosi dan signifikan buat peminat muzik tempatan.
Konsert ini akan berlangsung pada 8 November 2026, jam 8.30 malam di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Tiket akan mula dijual pada 5 Ogos 2026, jam 12 tengah hari menerusi Ticket2U dan Fantopia.

Harga tiket bermula dari RM188 bagi CAT 3, RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP termasuk sesi Meet & Greet) dan RM788 bagi Twin Seat (Suite Room 1-4).
Pemegang tiket VVIP turut menikmati sesi Meet & Greet bersama Noh Salleh, manakala pemegang tiket VIP akan menerima T-shirt konsert eksklusif edisi terhad.
Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra dijangka menjadi antara konsert paling dinanti tahun ini, menawarkan peluang kepada peminat untuk menikmati karya-karya ikonik Noh Salleh dalam susunan orkestra yang eksklusif dan sukar diulangi.










