
Filem seram tempatan, Khadam, terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM4 juta di pawagam seluruh negara. Pencapaian memberangsangkan itu membuktikan sambutan luar biasa penonton terhadap naskhah terbitan Redcomm dan Komet yang semakin mendapat tempat di hati peminat filem tempatan. Sejak mula ditayangkan, Khadam berjaya menarik perhatian ramai menerusi jalan cerita yang penuh misteri dan elemen seram yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton.
Mengangkat tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan”, filem ini bukan sahaja mencetuskan rasa ingin tahu, malah menjadi topik hangat di media sosial apabila ramai berkongsi pengalaman dan pandangan mereka selepas menonton. Kejayaan meraih RM4 juta sekali gus mengukuhkan kedudukan Khadam sebagai filem tempatan nombor satu di Malaysia ketika ini.
Sokongan berterusan daripada penonton menjadi faktor utama kejayaan filem tersebut, sekali gus membuktikan bahawa karya seram tempatan masih mempunyai pengaruh besar dalam industri perfileman negara. Dengan momentum yang masih kukuh, Khadam dijangka terus mencatatkan prestasi cemerlang dan menambah kutipan dalam minggu-minggu mendatang.










