
Propel Global Berhad terus mengorak langkah dalam memperluaskan portfolio perniagaannya apabila memulakan pembangunan projek Riverpoint di Kuantan, Pahang yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM64 juta. Projek yang dibangunkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Propel Global Development Sdn. Bhd. itu merupakan pembangunan hartanah komersial pertama syarikat dan antara projek lot kedai tepi sungai premium terawal di bandar berkenaan.
Terletak di sepanjang Jalan Tanah Putih berhampiran gerbang ikonik “Selamat Datang ke Kuantan”, Riverpoint menawarkan 31 unit lot kedai pegangan bebas tiga tingkat yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan termasuk runcit, F&B dan pejabat korporat. Setiap unit dilengkapi ruang hadapan yang luas, tingkap paparan besar serta kemudahan parkir yang mencukupi bagi meningkatkan keselesaan pengunjung dan pemilik perniagaan.
Pembangunan ini turut mencerminkan strategi diversifikasi Propel Global yang sebelum ini lebih dikenali dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta kejuruteraan. Dengan pertumbuhan pesat Kuantan yang didorong oleh projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan perkembangan Pelabuhan Kuantan, Riverpoint dijangka menjadi destinasi komersial baharu yang mampu menarik minat pelabur serta usahawan dalam jangka panjang.








