TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Nurul Natrah Rangkul Gelaran Juara Keseluruhan SAY LEAD Edisi Ketujuh

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyampaikan replika cek dan sijil kepada salah seorang usahawan OKU berkerusi roda pada majlis akhir Program SAY LEAD

Juara Keseluruhan Program SAY LEAD Edisi Ketujuh

Nurul Natrah binti Aziz @ Awang, pengasas Gembur Education, telah diiktiraf sebagai juara keseluruhan bagi program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Kejayaan cemerlang ini menyaksikan usahawan OKU Autisme & ADHD berkenaan menduduki tempat pertama dalam pusingan akhir yang menghimpunkan 10 usahawan OKU terbaik terpilih daripada 20 penyertaan awal. Tempat kedua pula dirangkul oleh Mohd Kamal Surin bin Abdullah, pengasas Nyaman Juice (OKU Fizikal), manakala tempat ketiga dimenangi oleh Farah Hana binti Faizul dan Fatnin Qistina binti Firdus, pengasas Loomsydoo Studio.

Inisiatif Pemerkasaan Usahawan OKU

Program SAY LEAD yang merupakan inisiatif keusahawanan di bawah naungan Selangor Youth Community (SAY), badan bukan berasaskan keuntungan yang diasaskan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor bertujuan memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi bimbingan perniagaan berstruktur. Sejak Mei 2026, para peserta telah melalui pelbagai modul latihan komprehensif termasuk pengurusan kewangan, pembinaan platform digital, pengurusan bisnes, strategi jualan di karnival, serta lawatan industri bagi meningkatkan daya saing ekonomi mereka dalam pasaran semasa.

Sebagai ganjaran atas kejayaan di peringkat akhir ini, kesemua lima pemenang utama layak melangkah ke peringkat seterusnya iaitu SAY LEAD+, sebuah program bimbingan eksklusif selama enam bulan yang memberi fokus kepada akses pasaran baharu, digitalisasi perniagaan, dan peluang reruai percuma. Inisiatif berterusan ini diharapkan dapat terus melahirkan usahawan OKU yang berdaya saing tinggi serta memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.