Johor terus mencatatkan perkembangan pesat sebagai antara negeri paling maju di Malaysia, dengan rekod terkini menunjukkan negeri itu kekal sebagai pengeksport kedua terbesar negara pada tahun 2025 serta menerima pelaburan diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada tahun yang sama. Prestasi ini sekali gus menolak dakwaan bahawa negeri tersebut tidak menerima pulangan pembangunan yang setimpal daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya membuktikan Johor terus menjadi antara fokus utama pembangunan negara.
Kerajaan Persekutuan MADANI turut melaksanakan pelaburan langsung yang besar dalam pembangunan infrastruktur awam di Johor merangkumi sektor pendidikan, kesihatan, jalan raya dan kemudahan asas lain. Antara projek utama yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura serta projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan dan mobiliti di negeri berkenaan.
Selain projek fizikal, perbelanjaan persekutuan juga merangkumi kos penyelenggaraan berterusan seperti gaji guru, anggota agensi persekutuan, polis dan tentera yang berkhidmat di Johor. Secara keseluruhan, jumlah sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini adalah jauh lebih tinggi berbanding anggaran RM2 hingga RM3 bilion yang sering diperkatakan, sekali gus menggambarkan skala sebenar komitmen pembangunan yang dilaksanakan.
Pada Disember 2025, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM11.43 bilion bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Johor. Sebelum itu, pada tahun 2024, Menteri Besar Johor sendiri telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas kelulusan 510 projek bernilai RM4.7 bilion yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.
Kesemua perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan Johor merentasi pelbagai sektor, termasuk inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu kepada rakyat negeri itu.
Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa ia kekal komited untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira negeri atau pentadbiran kerajaan negeri, di samping terus mempertingkatkan ketelusan dan keberkesanan pentadbiran. Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor turut dihargai dan diyakini akan terus diperkukuhkan demi memastikan kesejahteraan serta kemajuan rakyat Johor pada masa hadapan.










