Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri Takaful apabila berjaya merangkul anugerah Best Family Takaful Operator buat kali ke-13 berturut-turut pada Malaysia Takaful Association (MTA) Takaful Star Awards 2026. Penganugerahan berprestij yang dianjurkan setiap tahun oleh Malaysia Takaful Association ini mengiktiraf kecemerlangan pengendali Takaful, ejen serta pemain industri yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard dan kualiti industri Takaful negara. Kejayaan ini hadir pada waktu yang cukup bermakna apabila PruBSN turut meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-20 sejak beroperasi pada tahun 2006.
Dalam landskap industri yang semakin kompetitif dan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, PruBSN terus kekal komited dalam menyediakan perlindungan yang mudah diakses, relevan dan memberi nilai kepada masyarakat. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan kos kesihatan serta inflasi tuntutan perubatan telah memberi cabaran besar terhadap kemampuan kewangan pengguna. Menyedari perkara tersebut, PruBSN terus memperkenalkan inovasi yang bertanggungjawab dengan memastikan perlindungan yang ditawarkan mampu mengimbangi aspek kemampuan dan liputan menyeluruh.
Keperluan terhadap perlindungan kewangan dan kesihatan kini menjadi semakin penting. Kajian menunjukkan seramai 94 peratus rakyat Malaysia menangguhkan rawatan perubatan akibat kekurangan sokongan yang diperlukan. Pada masa sama, Malaysia juga dijangka bergerak ke arah status negara menua dengan kira-kira 14 peratus populasi berusia 65 tahun ke atas menjelang tahun 2048. Menyedari cabaran masa depan ini, PruBSN terus mempergiatkan usaha pendidikan serta kesedaran bagi membantu masyarakat membuat keputusan lebih bijak dalam merancang perlindungan diri dan keluarga.

Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Kewangan PruBSN, Kelvin Wong berkata komitmen syarikat itu bukan sahaja diterjemahkan melalui inovasi produk, malah dapat dilihat menerusi impak sebenar kepada kehidupan pelanggan. Sepanjang tahun 2025 sahaja, PruBSN telah membayar tuntutan berjumlah RM1.13 bilion melibatkan 168,910 kes. Tuntutan tersebut merangkumi manfaat perubatan, kematian, kemalangan peribadi, penyakit kritikal serta hilang upaya kekal menyeluruh. Setiap tuntutan yang dibayar mewakili kisah individu dan keluarga yang membuat keputusan penting untuk merancang masa depan mereka dengan lebih baik.
Malam anugerah tersebut turut menyaksikan para Perunding Takaful PruBSN menerima pelbagai pengiktirafan individu termasuk tempat kedua Top Agent, tempat pertama Top Agency Manager (Direct), tempat ketiga Top Agency Manager (Direct), tempat pertama Top Agency Manager (Group), tempat ketiga Top Agency Manager (Group), tempat pertama Top Unit Manager, tempat pertama MDRT Builder Award serta Anugerah Khas MTA Member Companies Best Agency/Agent/Intermediaries. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan PruBSN terhadap inovasi, integriti dan usaha membina ekosistem Takaful yang lebih kukuh serta inklusif.
Selaras dengan prinsip Ta’awun atau bantuan bersama, PruBSN turut memperkukuh impak sosial menerusi ekosistem Social Takaful yang diperkenalkan. Sejak tahun 2018, syarikat itu berjaya menggerakkan hampir RM100 juta dalam modal sosial dan komuniti, sekaligus memperluaskan perlindungan kepada lebih 2.2 juta individu. Pelbagai inisiatif termasuk Microtakaful Jariyah, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) dan iTekad Protection telah membantu memperluaskan akses perlindungan kepada golongan yang memerlukan.
Sehingga kini, hampir RM55 juta tuntutan telah dibayar menerusi inisiatif sosial tersebut, memberi manfaat kepada hampir 6,000 keluarga di seluruh negara. Usaha berterusan ini memperlihatkan aspirasi PruBSN dalam memastikan perlindungan lebih inklusif dapat dicapai oleh masyarakat tanpa mengira latar belakang. Inisiatif ini juga memperkukuh peranan syarikat sebagai organisasi yang bukan sahaja menawarkan perlindungan kewangan tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial negara.
Sempena ulang tahunnya yang ke-20, PruBSN melihat pencapaian ini sebagai simbol evolusi jenama yang berkembang dengan tujuan lebih besar. Ia bukan sekadar meraikan tempoh operasi selama dua dekad tetapi juga mencerminkan peranan syarikat dalam memperkasa masyarakat melalui akses perlindungan yang lebih menyeluruh. Dengan rangkaian lebih 15,000 Perunding Takaful di seluruh negara, PruBSN terus membantu rakyat Malaysia mengubah kesedaran kepada tindakan supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. PruBSN percaya apabila individu diberikan sokongan yang tepat, mereka mampu melangkah ke hadapan dan menjadi wira dalam kehidupan mereka sendiri.









