BYD Malaysia bersama Sime Motors, selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, terus memperkukuh pengalaman pemilikan kenderaan elektrik (EV) menerusi peluasan rangkaian dan peningkatan perkhidmatan di seluruh negara. Dengan kehadiran 40 bilik pameran serta lebih 30 pusat perkhidmatan selepas jualan di pelbagai lokasi utama, kedua-dua organisasi ini komited memastikan pemilik EV di Malaysia menikmati pengalaman pemilikan yang lebih yakin, mudah dan lancar.
Komitmen tersebut diteruskan dengan pembukaan rasmi BYD Mansion Macalister yang terletak di tengah-tengah George Town, Pulau Pinang. Lokasi ikonik ini menampilkan sebuah bangunan warisan yang dipulihkan dan diubah suai secara teliti menjadi bilik pameran perdana BYD bagi kawasan utara. Pendekatan unik ini menyatukan keindahan warisan tempatan dengan inovasi teknologi EV moden bagi menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih eksklusif.

Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow serta ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, YB H’ng Mooi Lye. Acara itu turut mencipta satu lagi detik bermakna apabila BYD meraikan pemilik ke-5,000 jenama tersebut di wilayah utara, sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan rakyat terhadap penggunaan mobiliti elektrik di luar Lembah Klang.
Naib Presiden BYD Co., Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pacific, Liu Xueliang berkata pelaburan berterusan BYD di Malaysia selari dengan visi global syarikat untuk menjadikan pengangkutan lestari lebih mudah diakses oleh masyarakat. Menurut beliau, BYD akan terus membawa inovasi teknologi serta keupayaan penyelidikan ke pasaran tempatan sambil memperkasakan pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi EV.
Tambah beliau lagi, BYD Mansion Macalister menjadi simbol komitmen jangka panjang syarikat dalam menggabungkan teknologi bertaraf dunia dengan penghormatan terhadap identiti dan warisan tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan BYD di Malaysia, malah membina hubungan lebih dekat dengan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan menyifatkan kepercayaan pelanggan sebagai tunjang utama kejayaan syarikat. Beliau menegaskan bahawa Sime Motors terus membina rangkaian sokongan tempatan yang membolehkan pemilik BYD menerima khidmat terbaik sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.

Disokong oleh lebih 30 pusat perkhidmatan selepas jualan, juruteknik bertauliah dan penasihat servis tempatan, BYD Mansion Macalister direka sebagai pusat sehenti yang merangkumi pelbagai kemudahan. Ia menyediakan ruang rundingan khas, titik sentuhan digital moden, ruang pertemuan peribadi serta hab servis dan pengecasan yang lengkap bagi memenuhi keperluan pengguna EV masa kini.
Selain memfokuskan kepada infrastruktur fizikal, BYD Malaysia dan Sime Motors turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan. Program latihan bagi juruteknik, penasihat jualan dan profesional perkhidmatan selepas jualan dipertingkat secara berterusan agar rakyat Malaysia dapat menikmati kepakaran EV bertaraf global tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar.
Bagi meraikan pelancaran BYD Mansion Macalister, satu acara jelajah jalanan media turut dianjurkan dari BYD Ara Damansara menuju ke Pulau Pinang. Perjalanan sejauh kira-kira 360 kilometer itu membuktikan keupayaan model EV BYD dari segi prestasi, keselesaan dan kemampuan perjalanan jarak jauh. Laluan yang merangkumi lebuh raya serta lokasi berunsur warisan budaya turut memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menarik.
Dalam usaha memastikan pengalaman pelanggan terus dipertingkatkan, BYD Sime Motors kini mengekalkan kadar ketersediaan alat ganti selepas jualan sebanyak 95 peratus. Inisiatif ini membolehkan pelanggan menerima sokongan yang lebih pantas dan efisien, selain memperkukuhkan keyakinan terhadap pemilikan EV di Malaysia. Dengan pertumbuhan penggunaan EV yang semakin memberangsangkan, BYD dan Sime Motors dilihat terus komited membina ekosistem mobiliti elektrik yang lebih kukuh serta berorientasikan pelanggan.












