Berpegang teguh kepada prinsip “Sentiasa Bersamamu”, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. meneruskan komitmen sosialnya sempena Ramadan tahun ini melalui usaha berterusan yang memfokuskan kesejahteraan komuniti menerusi Program Cahaya Ramadan 2026. Inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat dalam mendekati masyarakat serta menyumbang kepada golongan yang memerlukan agar mereka turut merasai kemeriahan dan keberkatan bulan Ramadan.
Program Cahaya Ramadan kini memasuki tahun keenam pelaksanaannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2021 hingga 2026, sebanyak 138,500 buku roti telah berjaya diedarkan dengan penglibatan aktif komuniti setempat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,000 buku roti Gardenia Original Classic diagihkan kepada 20 masjid terpilih di Semenanjung Malaysia pada tahun ini. Sumbangan tersebut turut disertakan dengan sampul raya edisi terhad khas buat setiap jemaah, sekali gus menambahkan kemeriahan serta menjadikan pengalaman Ramadan mereka lebih bermakna.
Selari dengan semangat Ramadan yang mengangkat nilai keprihatinan dan kebersamaan, Program Cahaya Ramadan: Sehari Bersama Gardenia dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kerjasama ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan disalurkan secara tepat dan berkesan. Program tersebut bukan sekadar memberi sumbangan, malah menjadi manifestasi empati dan sokongan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. yang menyalurkan dana berjumlah RM25,000 kepada 50 keluarga terlibat bagi membolehkan mereka memilih dan melengkapkan keperluan Hari Raya mengikut cita rasa sendiri, sekali gus menjadikan persiapan Aidilfitri lebih bermakna.

Program sehari ini telah berlangsung pada 11 Mac 2026 di Mydin Subang Jaya, di mana setiap keluarga asnaf diiringi oleh sukarelawan bagi memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa, teratur dan mesra. Selesai sesi tersebut, para keluarga diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan yang diadakan di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC IIUM) sebelum pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. menyampaikan sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan serta bagi menyemarakkan keceriaan menjelang Syawal.
Bercakap mengenai intipati program ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata bahawa keprihatinan seperti ini amat diharapkan daripada lebih banyak pihak korporat di negara ini agar dapat berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Ena Suhaila Abas, berkata bahawa di Gardenia, semangat memberi bukan sekadar bersifat bermusim, sebaliknya menjadi pendekatan berterusan syarikat dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan komuniti. Beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban penerima, mencipta detik yang bermakna serta menyatukan masyarakat dalam semangat kasih sayang dan kesyukuran.
Melalui pelaksanaan inisiatif ini, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. komited untuk terus menyampaikan manfaat yang praktikal dan berimpak tinggi kepada komuniti, selaras dengan aspirasi tanggungjawab sosial korporat syarikat. Program ini juga memperkukuh nilai kebersamaan yang menjadi teras Ramadan, sambil memastikan setiap usaha murni dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan serta membawa sinar keberkatan dalam setiap kebaikan.













