The Voice of Hind Rajab, yang kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, telah disenarai pendek bagi pencalonan Academy Award© dalam kategori Best International Feature Film, sekali gus meletakkannya dalam senarai lima filem terbaik dunia bagi kategori tersebut. Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan berprestij yang mengangkat karya berteraskan kemanusiaan ke pentas antarabangsa.
Malaysia berada dalam kedudukan istimewa sebagai antara negara terawal yang berpeluang menyaksikan filem ini di layar perak. Ketika dunia baru mula memberi tumpuan terhadap pencalonannya di peringkat Academy Award©, penonton tempatan sudah terlebih dahulu dapat menghayati sebuah karya yang sarat emosi dan kini mendapat pengiktirafan global.
Mewakili Tunisia, The Voice of Hind Rajab bakal bersaing dengan beberapa karya unggul dari pelbagai negara dan latar budaya, termasuk The Secret Agent dari Brazil, It Was Just An Accident dari Perancis, Sentimental Value dari Norway dan Sirat dari Sepanyol. Persaingan ini sekali gus menonjolkan kepelbagaian suara dan naratif sinema antarabangsa yang diraikan di peringkat tertinggi.
Pencalonan ini membuktikan bahawa filem berteraskan kisah kemanusiaan, yang sering kali terpinggir daripada arus perdana, mampu menembusi pengiktirafan tertinggi melalui penceritaan yang berani, berteraskan kisah benar serta nilai empati dan kemanusiaan sejagat.
The Voice of Hind Rajab dihasilkan menggunakan rakaman suara sebenar, termasuk suara seorang kanak-kanak, doa seorang ibu dan detik-detik sunyi yang penuh emosi, sekali gus menghasilkan pengalaman tontonan yang jujur, menyentuh perasaan dan sukar dilupakan oleh penonton.
Sepanjang tempoh tayangan di Malaysia, sokongan penonton tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan filem ini terus sampai kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai untuk menghayati sebuah kisah kemanusiaan yang sarat makna dan relevan merentas sempadan.