“Susuk Rupawan” Tonjol Aura Misteri Cahaya Nilam, Adam Lee Terperangkap

Apabila dendam silam kian membuku, kecantikan boleh bertukar menjadi senjata paling berbahaya menerusi Susuk Rupawan, sebuah drama thriller penuh misteri dan pembalasan yang bakal menghantui penonton bermula 7 Januari 2026. Drama ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.

Dibintangi Cahaya Nilam sebagai Dewi bersama Adam Lee, Darien Aeldra, Shah Rezza dan Watie Sada, Susuk Rupawan diarahkan oleh Amor Rizan, diterbitkan oleh Global Stations serta menampilkan skrip nukilan Liza Nur. Drama ini menggabungkan penceritaan sarat suspens dan elemen mistik yang membawa penonton menyelami dunia dendam, kecantikan terlarang serta rahsia gelap yang perlahan-lahan menghancurkan sebuah keluarga elit dari dalam.

Kisah Susuk Rupawan berpusat kepada Dewi, seorang penari tradisional berusia 20-an dari Johor yang berpindah ke Kuala Lumpur dengan satu tujuan tersembunyi, iaitu membalas dendam. Dia menyewa di rumah milik arwah Adli dan mendekati anaknya, Fadil, sebelum menggunakan hubungan tersebut untuk merapati Zakri, cucu kepada Tan Sri Halim, seorang tokoh korporat berpengaruh yang pernah menzaliminya pada masa lalu. Di sebalik kelembutan dan kecantikan Dewi, tersembunyi niat yang penuh perhitungan.

Ketegangan mula memuncak apabila Dewi berpindah tinggal bersama Fadil, Tan Sri Halim dan Mala, sehingga pelbagai kejadian mistik mula berlaku di dalam rumah tersebut. Kehadirannya mencetuskan keretakan yang semakin melebar dalam keluarga kaya itu, sebelum rahsia silam terbongkar bahawa Dewi sebenarnya ialah Nazimah, mangsa yang kembali dengan wajah muda hasil amalan ilmu hitam dan pemakaian susuk.

Apabila Fadil berdepan kebenaran pahit tentang sisi gelap Dewi, dia cuba menyelamatkan keluarganya daripada terus terjerumus. Namun segalanya seakan sudah terlambat apabila tragedi demi tragedi berlaku, meninggalkan persoalan sama ada dosa silam mampu ditebus atau dendam akan terus hidup walaupun jasad sudah tiada.

Menurut Adam Lee, watak Zakri memberikan cabaran tersendiri kerana menuntut konflik dalaman antara keluarga, cinta dan dendam yang mempengaruhi setiap tindakannya. Proses penggambaran yang penuh emosi dan ketegangan disifatkan sebagai pengalaman yang mencabar namun menyeronokkan, dengan harapan penonton dapat merasai intensiti serta kesan emosional yang cuba disampaikan.

Menggabungkan elemen thriller, mistik dan pembalasan, Susuk Rupawan bukan sekadar kisah dendam seorang wanita, sebaliknya menjadi peringatan tentang harga yang perlu dibayar apabila kezaliman dibiarkan berakar. Dengan penceritaan mendebarkan, visual suram dan simbolik serta lagu tema “Sang Pelaku” nyanyian Ameerais & Mariam, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghantui fikiran.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susuk Rupawan bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton, serta mengikuti maklumat lanjut dan perkembangan terkini menerusi platform media sosial rasmi TV3 dan Drama Sangat.