Mansau-Ansau Borneo Trail: Jelajah Budaya dan Alam Tambunan

Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan lawatan ke Daerah Tambunan pada 6 hingga 7 Disember 2025. Daerah ini terkenal dengan jolokan ‘The Switzerland of the East’ kerana keindahan alam semula jadinya. ‘Mansau-Ansau’ dalam bahasa Kadazan Dusun membawa maksud melancong atau bersiar-siar. Lawatan ini disertai oleh dua wakil agensi pelancongan dan dua media tempatan dengan tujuan mempromosikan pelancongan domestik, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Edisi ketiga lawatan ini memberi tumpuan kepada pengalaman pelancongan desa di Kampung Sunsuron Homestay yang menawarkan jamuan tradisional kaum Kadazan Dusun. Para peserta turut menginap bersama komuniti Dusun sambil mengunjungi tapak budaya unik seperti Rumah Tengkorak. Lawatan diteruskan ke Air Terjun Mahua di Hutan Simpan Crocker Range, Rafflesia Information Centre, serta Sinurambi Viewing Point yang menampilkan menara wakid setinggi 14 meter. Aktiviti lasak di Kawang-Kawang Canyon pula memperlihatkan potensi besar penglibatan komuniti Kampung Tiong dalam pelancongan berasaskan alam di kawasan pedalaman Sabah.

Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, menjelaskan bahawa pihaknya membawa wakil agensi pelancongan dan media tempatan untuk merasai pengalaman ‘experimental tourism’ sambil mendekati adat dan budaya tempatan, khususnya di Sabah yang terkenal dengan konsep Community-Based Tourism (CBT). Beliau turut menambah bahawa lawatan ini merupakan strategi Tourism Malaysia untuk menembusi dunia digital, memandangkan penggiat media memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk pelancongan melalui konsep travel and storytelling yang berimpak tinggi.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) mensasarkan 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa. Program ‘Mansau-Ansau Borneo Trail’ ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Tourism Malaysia dalam mempromosikan destinasi domestik sebagai persiapan menghadapi VM2026. Tourism Malaysia yakin sasaran ini dapat dicapai melalui kerjasama kukuh semua pihak berkepentingan, dengan kejayaan misi nasional ini didorong oleh usaha menampilkan Malaysia sebagai destinasi unik sambil mengangkat potensi pelancongan luar bandar di Sabah.